HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Pemimpin PAS, PKR tak setuju perpecahan halang parti tempatan kuasai politik Sabah

-

Seorang pemimpin kanan PKR negeri berpendapat krisis keyakinan terhadap parti dan pemimpin punca utama parti tempatan tidak dapat menguasai politik Sabah.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Pesuruhjaya PAS negeri, Aliakbar Gulasan berkata, rakyat tempatan lebih mengutamakan parti boleh membawa suara dan perjuangan hak Sabah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA:
Pemimpin PAS dan PKR tidak melihat perpecahan parti politik di Sabah punca parti tempatan tidak dapat menguasai landskap politik negeri seperti di Sarawak.

Pesuruhjaya PAS Sabah, Aliakbar Gulasan sebaliknya berkata, rakyat di negeri itu lebih mengutamakan parti yang dilihat benar-benar jujur dan ikhlas dalam memajukan negeri.

“Bukan isu parti politik Sabah, tetapi lebih kepada perjuangan hak Sabah dan integriti dalam pelaksanaan pembangunan.

“Dalam konteks Sarawak, latar belakang kewujudan parti politiknya mungkin berbeza. Yang dicari oleh rakyat Sabah adalah parti yang benar-benar jujur dan ikhlas dalam membawa suara dan perjuangan Sabah,” katanya kepada FMT.

Beliau bersetuju jika hanya dua gabungan besar dibentuk di Sabah bagi mengelakkan perpecahan, tetapi menegaskan kebebasan rakyat dalam menyuburkan demokrasi juga perlu diraikan.

Kelmarin, penganalisis politik Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah dilaporkan berkata, perpecahan sebab utama parti politik di Sabah tidak dapat menguasai landskap politik negeri.

Katanya, tidak seperti Sarawak di mana parti tempatan lebih cenderung memelihara perpaduan di negeri itu, ahli politik Sabah kelihatan terlalu fokus menangkis saingan dalaman.

Katanya, parti berpangkalan di Sabah harus berkumpul di bawah satu payung seperti parti Sarawak bersatu di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana kekal berpecah memberi ruang kepada parti berasaskan nasional, yang mempunyai kelebihan dari segi pembiayaan dan tadbir urus.

Sementara itu, seorang pemimpin kanan PKR Sabah enggan dinamakan menolak faktor perpecahan dalam kalangan parti tempatan sebab utama mereka tidak dapat menguasai landskap politik negeri itu.

“Bagi saya, krisis keyakinan terhadap parti dan pemimpin tempatan penyebab utama. Kita imbas sejarah dahulu bagaimana parti tempatan mentadbir Sabah sejak era Usno, Berjaya dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

“Kenapa mereka tumbang dan digantikan parti tempatan lain atau parti nasional? Jawapannya ialah rakyat hilang keyakinan terhadap corak kepimpinan dan prestasi parti tersebut.”

Beliau berkata, Sabah tidak boleh disamakan dengan Sarawak kerana ia ditadbir parti tempatan secara berterusan.

“Saya tidak katakan Sabah tidak boleh ke arah itu, tetapi tidak semestinya hanya dengan pimpinan parti tempatan barulah maju. Kita lihat negara maju. Negeri mereka ditadbir parti nasional tapi lebih maju, contoh AS dan UK.

“Pendek kata slogan ‘Sabah for Sabahan’ tidak semestinya 100% ‘workable’. Lihat kepada pemimpin parti tersebut dan tak semestinya parti nasional tidak bagus. Ianya akan lebih memudahkan proses tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembangunan, jika ada keserasian dengan pemimpin pusat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.