HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Dulu seminggu, kini HRD Corp guna AI lulus geran 1 hari

-

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata Perkeso sedang menggunakan kecerdasan buatan untuk menyediakan surat jaminan bagi kemasukan hospital.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Menteri Sumber Manusia Steven Sim pada perasmian Pameran dan Persidangan Modal Insan Kebangsaan 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR:
Penggunaan kecerdasan buatan (AI) membantu Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) mengurangkan tempoh kelulusan geran secara ketara, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Menurutnya HRD Corp menggunakan AI sebagai komponen utama proses kelulusannya, daripada mengimbas, membaca dan menganalisis dokumen untuk memastikan pematuhan, kepada menjana output yang membantu dalam membuat keputusan lebih pantas.

“Dengan menggunakan AI, HRD Corp berjaya mengurangkan proses kelulusan geran dari seminggu kepada kurang sehari,” katanya ketika merasmikan Pameran dan Persidangan Modal Insan Kebangsaan 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia di sini.

Beliau berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menggunakan AI dalam projek perintis bagi mengurangkan masa mengeluarkan surat jaminan untuk kemasukan ke hospital supaya pencarum boleh menerima rawatan perubatan percuma.

Sim berkata, lazimnya Perkeso memerlukan tiga hari untuk mengeluarkan surat jaminan itu, tetapi dengan AI, proses berkenaan itu dikurangkan kepada sejam.

Katanya, apabila membuat keputusan bagaimana AI akan mempengaruhi ekonomi dan pasaran pekerjaan, penting untuk mempunyai peta masa depan dan kita tidak boleh bergantung kepada tekaan serta nasib semata-mata.

Beliau berkata, kementeriannya pada Mac lalu meminta badan pemikirnya Talent Corporation Malaysia Bhd menghasilkan laporan impak mengenai kesan AI, pendigitalan dan ekonomi hijau ke atas pasaran pekerjaan Malaysia.

“Kini, enam bulan kemudian, kami sudah menyiapkan laporan untuk 10 sektor ekonomi strategik,” katanya sambil menambah sektor itu meliputi kira-kira 4.5 juta pekerjaan yang membentuk kira-kira 80% daripada keluaran dalam negara kasar.

Sektor itu adalah ICT, pembuatan dan perkhidmatan makanan, pembuatan farmaseutikal, aeroangkasa, elektrik dan elektronik, perdagangan borong dan runcit, bahan kimia, peranti perubatan, tenaga dan kuasa serta perkhidmatan perniagaan global.

“Laporan itu bukan saja boleh membantu pemain sektor merancang lebih awal, ia juga membolehkan pekerja memegang peranan bakal terjejas dalam masa beberapa tahun akan datang dimaklumkan dan beralih kepada peranan berbeza.

“Pelajar juga boleh menjangkakan bagaimana pasaran pekerjaan esok dan melakukan persediaan sewajarnya.

“Pemetaan masa depan pekerjaan seperti ini akan membolehkan kerajaan dan pembuat dasar menjangkakan perkara akan datang supaya kita boleh merangka strategi lebih baik untuk menghadapi masa depan.”

Beliau berkata laporan itu akan dikeluarkan bulan depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.