
Rafizi berkata, PH membantah kehadiran Lynas sebelum ini kerana Malaysia dijadikan tempat pembuangan produk sampingan sisa.
Katanya, syarikat itu membawa masuk bahan mentah dari Australia untuk diproses, dan bahan diproses dihantar balik manakala produk sampingan sisa disimpan di Malaysia.
“Dulu, (Malaysia) jadi tempat buangan dan tambah nilai (daripada pelaburan Lynas) sedikit sahaja,” katanya dalam episod terbaru audio siar, Yang Bakar Menteri.
Menurutnya, sebelum PH mentadbir sebagai kerajaan persekutuan, tiada pemetaan mineral mengenai potensi nadir bumi mahupun sebarang permintaan untuk mineral tersebut.
“Pada masa itu, adakah kita hendak negara asing hantar mineral yang berbahaya ke Malaysia untuk dijadikan tempat buangan?
“Ketika PH ambil alih (pentadbiran) negara, (kita fikir) bagaimana nak pastikan Malaysia dapat pulangan berbaloi (daripada Lynas), dan pada sama, pemetaan mineral dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap Eric See-To, yang mempersoalkan perubahan pendirian PH, yang sebagai pembangkang ketika Najib Razak menjadi perdana menteri mendakwa operasi Lynas berbahaya.
Rafizi berkata, kerajaan PH pada 2019 membuat keputusan berkontroversi membenarkan Lynas meneruskan operasinya di Malaysia. Lesen operasi syarikat itu dibaharui lagi pada Oktober tahun lepas, membolehkan syarikat itu meneruskan pengimportan dan pemprosesan nadir bumi sehingga Mac 2026.
Bagaimanapun, lanjutan itu bergantung pada pematuhan Lynas memastikan kandungan radioaktif torium dalam residu sisa kekal bawah ambang yang ditetapkan.
Pada Jun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata, pembinaan fasiliti pelupusan tetap Lynas dijangka siap menjelang akhir tahun ini.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram