
Sebanyak 1000 GWj sijil TBB daripada sumber hidro dan 100GWj sijil TBB daripada sumber solar dibuka untuk bidaan.
PETRA dalam kenyataan memaklumkan bidaan dibuka melalui platform Malaysia Green Attribute Trading System (mGATS) bagi membolehkan syarikat korporat dan entiti perniagaan memenuhi komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Menurutnya, platform bidaan mGATS dibangun dan dikendalikan Tenaga Nasional Bhd (TNB) melalui anak syarikatnya TNBX Sdn Bhd yang dilancarkan pada 8 Mei lepas.
Proses bidaan itu akan dilakukan melalui laman sesawang https://platform.mgats.com.my dan ia akan diadakan secara berterusan setiap bulan, bermula 7 hingga 11 haribulan, sehingga kesemua sijil TBB ditawarkan habis dibida.
“Persijilan dan pendaftaran sijil TBB ditawarkan akan dilakukan berdasarkan piawaian dengan badan pensijilan antarabangsa seperti TRACK Foundation.
“Langkah itu penting bagi memastikan dan menjamin kredibiliti sijil TBB diurusniagakan,” katanya.
Kementerian itu turut memaklumkan pembukaan bidaan sijil TBB itu akan membolehkan syarikat korporat memenuhi komitmen ESG berdasarkan kemampuan serta keupayaan masing-masing.
“Usaha itu diharap dapat merancakkan pembangunan industri TBB negara, sekali gus menyokong aspirasi peralihan tenaga negara untuk mencapai sasaran 70% campuran kapasiti TBB dalam perbekalan elektrik negara menjelang 2050,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram