![rumah houses](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fmedia.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2024%2F07%2Fbd037041-fmt-rumah-houses-260724.webp&w=3840&q=75)
Nur Khalisa Mohd Ali, 30, berkata SJKP ibarat ‘talian hayat’ bagi pekerja senasib dengannya yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk memiliki rumah sendiri.
“Saya sangka akan menyewa sampai mati kerana sudah lama menguburkan impian untuk memiliki kediaman sendiri. Apatah lagi kerja (gaji) saya tidak ada potongan KWSP,” katanya kepada FMT.
Berkongsi keterujaannya, Nur Khalisa tidak menyangka dapat memiliki rumah sendiri dan proses memohon pembiayaan SJKP sangat mudah selain tidak perlu mengeluarkan sebarang kos.
![Free Malaysia Today](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fmedia.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2024%2F10%2Fba8c4f25-main-pic-tunjuk-kunci.webp&w=3840&q=75)
“Saya hanya perlu isi borang dan kurang sebulan sudah berjaya memiliki sebuah rumah. SJKP bagus untuk mereka yang bekerja sendiri dan tiada KWSP.
“Kita juga tidak perlu bayar deposit 10%, kos guaman dan kos penilaian serta boleh buat pinjaman 100% hingga 120% termasuk kos ubah suai,” katanya yang mendapatkan khidmat ejen hartanah berdaftar untuk membantu menguruskan pembelian rumah pertamanya.
Ibu kepada seorang anak itu berkata, sebelum ini dia berputus asa untuk membeli rumah kerana sedar tidak menepati syarat ditetapkan bank sehinggalah mengetahui kewujudan SJKP.
“Nak beli rumah tapi tiada KWSP, tambahan pula kalau mahu beli rumah kena ada sekurang-kurangnya 10% duit deposit dan kos guaman. Jadi saya fikir menyewa sajalah,” katanya.
SJKP adalah inisiatif kerajaan untuk membantu pembeli rumah pertama tidak mempunyai pendapatan tetap dan slip gaji seperti pekerja ekonomi gig dan bebas, pemilik perniagaan, peniaga atau usahawan kecil berkelayakan bagi mendapatkan kemudahan gadai janji.
Ia menyediakan sehingga RM500,000 had pembiayaan dengan 35 tahun tempoh bayaran melalui 15 institusi kewangan yang menyertai skim itu.
Dalam Belanjawan 2024 peruntukan SJKP ditambah sehingga RM10 bilion yang dijangka memanfaatkan 40,000 peminjam.
Bantu rancak industri hartanah
![Free Malaysia Today](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fmedia.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2024%2F10%2F626e87fb-azhar-hassan-mugshot-141024.webp&w=3840&q=75)
Sementara itu, jururunding hartanah berdaftar, Azhar Hassan, berkata inisiatif berkenaan bukan sahaja membolehkan rakyat memiliki rumah malah membantu merancakkan industri terbabit.
Katanya, ia adalah peluang untuk rakyat memiliki rumah dengan lebih mudah berbanding skim sedia ada ditawarkan institusi kewangan.
“Bagi kami ejen hartanah pun dapat manfaat daripada skim ini. Kita dapat untung (jual rumah), pada masa sama bantu orang memiliki rumah,” kata pengarah Skyprop Real Estate yang memiliki 12 tahun pengalaman dalam bidang hartanah.
![Free Malaysia Today](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fmedia.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2024%2F10%2F4a0267f1-azmir-zakariah-mugshot-141024.webp&w=3840&q=75)
Seorang lagi ejen hartanah, Azmir Zakariah, melihat SJKP sebagai ‘bantuan amat diperlukan rakyat’ dalam usaha memiliki kediaman sendiri dan selesa.
“Saya pernah uruskan pembelian rumah pelanggan yang tiada potongan KWSP, ada hutang lapuk dan dia dibayar gaji per jam sahaja. Bila kita cuba, Alhamdulillah permohonannya diluluskan,” katanya yang membantu ramai pembeli menerusi SJKP.
Pembeli rumah yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai SJKP boleh semak di sini
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram