
Pengerusi Mais, Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata penolakan itu disebabkan ada perkara yang dilakukan bercanggah Peraturan 17 (d) Peraturan Tauliah Selangor 2008.
Tetapi, menurutnya, Ustaz Don masih berpeluang mengemukakan permohonan tauliah mengajar agama Islam baharu dalam tempoh setahun, selepas tauliahnya ditarik 24 Julai lalu.
“Jika hendak buat rayuan lagi tahun depan. Walaupun ditarik, masih boleh merayu…syarat kena tunggu setahun selepas ditarik. Tetapi, beliau perlu melalui temu duga seperti biasa sebelum ini.
“Beliau sudah ada pengalaman, jadi tiada masalah, tetapi kita berharap jangan ulang perkara yang silap,” katanya menurut Harian Metro selepas menyempurnakan Majlis Ijtima’ Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor 2024 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Pada 13 Ogos lalu, media melaporkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan tauliah mengajar Ustaz Don di negeri itu ditarik balik.
Pendakwah selebriti itu disiasat mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan doktrin palsu berdasarkan beberapa aduan diterima Jais.
Sebelum itu, media melaporkan khidmatnya sebagai pengacara program Salam Baitullah di sebuah stesen televisyen ditamatkan selepas memberi kenyataan mengelirukan mengenai ibadah berpuasa pada hari tasyrik.
Difahamkan, Ustaz Don mengemukakan rayuan pada 14 Ogos 2024, sebelum keputusan rayuan dikeluarkan dan tidak dipertimbangkan pada 17 Sept lalu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram