
Ketua Polis Sentul Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, dalam kejadian pada 11.45 malam itu, dua anggota polis sedang melakukan rondaan cegah jenayah di satu lorong yang gelap di kawasan itu sebelum terserempak dengan sebuah Toyota Vellfire dalam keadaan enjin dihidupkan.
Menurutnya, salah seorang anggota polis meletakkan motosikalnya di hadapan kenderaan itu menyuluh ke dalam sambil mengeluarkan kad kuasa polis.
“Bagaimanapun, suspek lelaki yang ketika itu berada di bahagian belakang kenderaan terus bergerak ke bahagian pemandu dan bertindak menekan minyak lalu melanggar motosikal anggota polis berkenaan dan menyeretnya sejauh 300m sebelum melarikan diri,” katanya, lapor Bernama
Kedua-dua anggota polis itu sempat mengelak sebelum mengejar kenderaan tersebut yang dipandu ke arah Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) namun suspek berjaya melarikan diri.
Ahmad Sukarno, berkata hasil maklumat yang diterima, kedua-dua suspek berusia 27 tahun itu berjaya ditahan di sekitar Batu Caves, Gombak, dan Taman Melati, Setapak, hari ini.
Suspek lelaki direman tujuh hari bermula hari ini manakala suspek wanita direman hingga esok untuk disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram