HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Gagal hantar Black Hawk sebelum 31 Okt, kontrak sewa mungkin terbatal

-

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata, pihak tentera akan mencari alternatif bagi menggantikan kontrak sewaan dengan Aerotree.

0
Shares
Total Views: 1
black hawk
Pada Mei tahun lepas, Kementerian Pertahanan menandatangani kontrak 5 tahun sewaan empat helikopter Black Hawk dengan pembekal tempatan Aerotree Defence and Services bernilai RM187 juta. (Gambar Facebook)

KOTA TINGGI:
Kegagalan Aerotree Defence and Services Sdn Bhd menghantar empat helikopter sewaan UH-60A Black Hawk kepada angkatan tentera hingga 30 Okt mungkin menyebabkan kontrak terbatal.

Sehubungan itu, Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata, pihak tentera akan mencari alternatif bagi menggantikan kontrak sewaan itu.

“Saya telah minta pihak tentera darat untuk mencari alternatif lain kerana ia (helikopter) ialah ‘stop gap’ bagi tempoh lima tahun untuk kegunaan tentera darat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Eksesais Panah Jaguh Siri 2/2024 di Lapang Sasar Bumi Ke Udara (LSBU), Tanjung Logok hari ini.

Kementerian Pertahanan sebelum ini dilaporkan akan menilai secara menyeluruh perjanjian pajakan empat helikopter Black Hawk itu sebelum membuat keputusan sama ada membatalkan kontrak atau memberikan masa tambahan kepada pembekal.

Pada Mei tahun lepas, kementerian menandatangani kontrak sewaan empat helikopter itu dengan pembekal tempatan Aerotree Defence and Services selama lima tahun bernilai RM187 juta.

Ketika ditanya mengenai peruntukan kepada Kementerian Pertahanan dalam Belanjawan 2025, Khaled berkata, peruntukan meningkat antara 6 hingga 7% untuk tahun depan berbanding tahun ini, yang akan membolehkan kementerian meneruskan usaha pemodenan aset tentera.

“Kita akan teruskan projek-projek LCS (kapal tempur pesisir), LMS (kapal misi pesisir) dan sebagainya, (termasuk) soal pembelian helikopter juga,” katanya.

Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim Jumaat lepas memperuntukkan RM21.2 billion kepada Kementerian Pertahanan, pertambahan RM1.4 bilion berbanding 2024.

Jumlah ini termasuk peruntukan RM5.8 bilion yang dikhususkan untuk kerja-kerja senggara dan pembaikan serta perolehan aset-aset ketenteraan baharu.

Dalam perkembangan lain, Khaled memaklumkan laporan penuh berhubung KD Pendekar yang tenggelam di dua batu nautika Tenggara Tanjung Penyusup, Kota Tinggi selepas mengalami kebocoran pada 25 Ogos lepas akan diperoleh dalam masa terdekat.

Katanya, kapal itu telah pun dikeluarkan dan sedang dibawa ke kawasan sesuai untuk membolehkan kajian terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca dan sebagainya.

Pada 25 Ogos lepas, tentera laut mengesahkan KD Pendekar mengalami kebocoran dan kebanjiran dipercayai berpunca daripada perlanggaran dengan objek bawah air ketika sedang melaksanakan penugasan operasi.

Kebocoran mula dikesan di bilik jentera kapal sebelum merebak dengan cepat dan tidak terkawal.

Bagaimanapun, semua 39 kru berjaya diselamatkan selepas usaha untuk mengawal kebocoran serta menstabilkan kapal tidak berjaya.

Beberapa hari selepas itu, seorang Penyelam Ranjau Tentera Laut dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA) Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa meninggal dunia ketika membuat selaman dalam operasi salvaj kapal berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.