
Ketua Pengarah KPT Azlinda Azman, berkata Akta 605 masih berada di peringkat perbincangan kementerian susulan pengumuman Menteri Zambry Abdul Kadir di Parlimen, Khamis lalu.
“Seperti dinyatakan menteri ada juga cubaan lihat Akta 605. Kita masih lagi dalam peringkat perbincangan dengan sebaik mungkin dalam masa terdekat,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Pendidikan Yapeim di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Sementara itu, Rektor UIAM Osman Bakar menyambut baik cadangan Akta 605 khususnya kebebasan bersuara mengenai akademik.
“Sebenarnya kita berpegang kepada prinsip itu iaitu kebebasan akademik dan kebebasan membicarakan isu-isu kemasyarakatan,” katanya.
Khamis lalu, Zambry di Dewan Rakyat berkata KPT akan melihat semula untuk mengecualikan universiti awam daripada Akta 605 bagi memastikan kebebasan bersuara dalam kalangan ahli akademik, sekali gus menggembleng pemikiran untuk kemajuan negara.
Ini berikutan isu surat pekeliling dikeluarkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kepada seluruh warga akademik dan petugas berhubung arahan supaya pegawai awam tidak boleh mengeluarkan kenyataan awam termasuk di media sosial.
Bagaimana menerusi kenyataan pada 18 Okt, UKM menafikan pihaknya menghalang kebebasan mana-mana warga akademik dan petugas mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada secara lisan atau bertulis termasuk di media sosial.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram