![shopping hypermarket](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fmedia.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2024%2F07%2F6deb4dfc-shopping-hypermarket-supermarket-fmt-160724-1.webp&w=3840&q=75)
Menurut laporan Indikator Kos Sara Hidup yang dikeluarkan oleh DOSM hari ini, purata nasional per kapita sebanyak RM1,314 dicatatkan bagi isi rumah di Malaysia, dengan 35% dibelanjakan untuk makanan.
Isi rumah di kawasan bandar membelanjakan RM1,423 sebulan per kapita, manakala di kawasan luar bandar sebanyak RM927.
Tiga negeri mencatatkan perbelanjaan asas tertinggi per kapita terdiri daripada Kuala Lumpur (RM1,755 sebulan); Selangor (RM1,630); dan Pulau Pinang (RM1,471), manakala Kelantan (RM1,018), Perlis (RM1,026) dan Kedah (RM1,034) mencatatkan jumlah terendah.
Menurut DOSM, penduduk di kawasan bandar membelanjakan RM467 seorang untuk makanan setiap bulan, berbanding RM411 dalam isi rumah luar bandar.
Selangor mencatatkan purata perbelanjaan per kapita untuk makanan tertinggi pada RM507 sebulan, diikuti Johor (RM476) dan Melaka (RM471), manakala Kelantan (RM388), Perlis (RM392) dan Terengganu (RM403) antara negeri mencatatkan purata terendah.
Barangan bukan makanan membentuk 65% atau RM859 daripada jumlah perbelanjaan asas bulanan per kapita, dengan isi rumah bandar mencatatkan RM956 sebulan, dan isi rumah luar bandar RM516.
Perbelanjaan per kapita tertinggi bagi barangan bukan makanan dicatatkan di Kuala Lumpur (RM1,288), Selangor (RM1,123) dan Pulau Pinang (RM1,013), manakala angka terendah di Kedah (RM625), Sarawak dan Kelantan (masing-masing RM630).
Menurut laporan itu, perbelanjaan untuk barangan bukan makanan juga dipengaruhi oleh saiz isi rumah dan ketersediaan barangan dan perkhidmatan di lokasi tersebut
Aplikasi MyPAKW app dilancar
Awal hari ini, DOSM mengeluarkan laporannya mengenai Indikator Kos Sara Hidup 2023 yang mengandungi 15 laporan mengenai negara dengan data berasingan bagi setiap negeri dan wilayah persekutuan. Pelancaran itu bertepatan dengan sambutan jubli berlian jabatan itu untuk menandakan ulang tahunnya yang ke-75.
Jabatan itu juga melancarkan aplikasi mudah alih MyPAKW, yang merupakan kalkulator menganggar jumlah perbelanjaan asas untuk kehidupan wajar berdasarkan faktor seperti demografi, lokasi, jantina, umur dan saiz isi rumah.
Aplikasi ini membolehkan orang ramai menentukan nilai rujukan untuk perbelanjaan sara hidup asas di kawasan dan lokasi masing-masing.
“Nilai PAKW ditentukan dua faktor utama, iaitu lokasi dan ciri demografi seperti umur, jantina dan saiz isi rumah,” kata Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin.
Beliau berkata, PAKW turut mengguna pendekatan mengambil kira kos makan di luar dan konsep minimum pelbagai untuk pilihan perbelanjaan makanan serta keperluan diet asas yang memenuhi keperluan pemakanan seimbang mengikut piawaian Pengambilan Nutrien yang Disyorkan (RNI) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram