HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Dakwa jika salah, kata PM berkait isu Nafas, FashionValet

-

Anwar Ibrahim berkata siasatan perlu dilakukan dengan adil tanpa mengira pangkat dan jawatan sama ada melibatkan syarikat kerajaan mahupun swasta.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Perdana Menteri Anwar Ibrahim merasmikan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2024 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Arena, Pulau Pinang. (Gambar Bernama)

BUTTERWORTH:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertegas tidak akan menghalang dan masuk campur dalam siasatan terhadap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) oleh pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, siasatan perlu dilakukan dengan adil tanpa mengira pangkat dan jawatan ataupun sama ada melibatkan syarikat kerajaan mahupun swasta.

“Sekarang heboh isu Perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan. Walaupun ia badan yang bebas, tapi ia bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Baru-baru ini juga ada kes Khazanah Nasional Bhd, yang mana pengerusinya adalah perdana menteri.

“Tapi, saya tidak akan halang siasatan kalau ada laporan. Kalau salah, siasat. Kalau salah, dakwa. Kalau salah, hukum,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2024 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Arena, Pulau Pinang.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilaporkan berkata pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta dialami Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet.

Anwar berkata, beliau turut menyerahkan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan terhadap Nafas dan dakwaan penglibatan kartel dalam pengedaran serta pembekalan kontrak baja padi.

“Saya dah lama marah kepada kartel yang cuma menjaga kelompok dia, bukan jaga rakyat,” katanya.

Anwar juga berkata, kerajaan Madani komited dalam membela nasib rakyat khususnya golongan B40 dan M40, yang penjimatan hasil kerajaan melalui penyasaran subsidi boleh disalurkan kepada golongan sepatutnya, serta membantu penjaja dan peniaga kecil.

Perdana menteri berkata, kerajaan juga akan melakukan kajian berterusan, bagi memastikan penyasaran subsidi berkenaan tidak membebankan.

“Kita tarik subsidi untuk golongan T15, namun, itu pun kita masih kaji kerana kita bimbang mungkin ada yang pendapatan RM13,000 tapi anak lima orang dan dua sedang menuntut di universiti. Itu mungkin terbeban. Kita sedang kaji hal ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.