HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Tekap seterika: Pegawai kadet UPNM mengaku tak salah

-

Amirul Iskandar Norhanizan didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Mohd Salman Saiful Surash pada 11.45 malam 22 Okt lalu.

0
Shares
Total Views: 1
Amirul Iskandar Norhanizan UPNM-KES DERA BULI-KL HIGH COURT
Amirul Iskandar Norhanizan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan seterika terhadap rakan sekelasnya.

KUALA LUMPUR:
Seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan seterika terhadap rakan sekelasnya, bulan lalu.

Tertuduh, Amirul Iskandar Norhanizan, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Hakim Egusra Ali.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Mohd Salman Saiful Surash, 20, di hostel UPNM pada 11.45 malam, 22 Okt lalu.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Sabri Othman memohon mahkamah menetapkan jaminan RM30,000, berikutan kesalahan berat yang dilakukan oleh tertuduh.

“Mangsa melecur tahap dua di dadanya,” katanya.

Sabri turut meminta mahkamah menghalang Amirul daripada menghubungi bakal saksi dalam kes itu.

Beliau berkata, pihak pendakwaan akan memanggil rakan sebaya Amirul dan pegawai universiti untuk memberi keterangan.

Tertduduh kemudian merayu jumlah ikat jamin dikurangkan kerana masih belajar selain berjanji akan hadir setiap prosiding mahkamah.

Hakim Egusra Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin.

Mahkamah menetapkan 27 Dis untuk pengurusan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.