
Menurutnya, Kementerian Pertahanan turut memutuskan hukuman sangat berat, termasuk diberhentikan pengajian, membayar denda dan wang tajaan, yang perlu mendapat pengesahan mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT).
“Kementerian Pertahanan sudah ada keputusan mengenai kadet terbabit tempoh hari ini, kita hanya menunggu pengesahan MAT.
“Kalau memang mereka akan dihukum untuk dibuang, mereka perlu bayar denda, iaitu pulang balik segala tanggungan yang kerajaan keluarkan sepanjang mereka jadi kadet di universiti dan mereka mesti keluar dari Akademi Latihan Ketenteraan (ALK).
“Maknanya, bila hukuman disahkan mesyuarat MAT dalam masa dua minggu lagi. Keputusan sudah ada seperti yang saya katakan, ia membabitkan dua kes yang membabitkan lima kadet, salah seorang kes buli seterika,” katanya menurut Harian Metro selepas Majlis Pelancaran Sukarelawan Kota Tinggi di Pusat Khidmat Parlimen Kota Tinggi malam tadi.
Beliau berkata, Kementerian Pertahanan akan memperketatkan tindakan terhadap pihak atau individu menyorokkan insiden buli di UPNM dan tidak memaklumkan kejadian buli terbabit.
“Selain usaha menambah jurulatih dan mengasingkan pelajar tahun satu dan senior, kita juga akan memperketatkan hukuman dan menghebahkan supaya semua tahu sebagai satu literal, kalau sesiapa terbabit soal kekejaman, buli dan penderaan, hukuman sangat berat.”
Pada 8 Nov lalu, pegawai kadet ALK UPNM, Amirul Iskandar Norhanizan, 22, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang junior dengan menekap seterika wap di dada kanannya pada 11.45 malam 22 Okt lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Egusra Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin dan tidak dibenarkan mendekati saksi pendakwaan. Mahkamah menetapkan 27 Dis ini untuk sebutan semula kes.
Kes kedua membabitkan seorang penuntut tahun satu UPNM mengalami keretakan tulang rusuk dan belakang dipercayai dipijak seniornya pada 21 Okt lalu. Polis sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram