HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Daim dan Anwar: Kawan tapi lawan?

-

Seorang pemimpin pelajar manakala seorang lagi ahli perniagaan berjaya, tetapi kedua-duanya dibawa masuk ke Umno oleh Dr Mahathir Mohamad.

4
Shares
Total Views: 1,241
Free Malaysia Today
Hubungan antara Daim Zainuddin dan Anwar Ibrahim begitu banyak selok-belok sepanjang 40 tahun lalu, daripada rakan dalam Jemaah Menteri sehingga menjadi musuh ketat. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA:
Daim Zainuddin yang meninggal dunia pada 13 Nov lalu, pengkritik lantang Anwar Ibrahim, malah terbaru menuduh perdana menteri itu memungkiri janjinya berkait reformasi serta tuduhan yang dikatakan bermotif politik terhadapnya pada awal tahun ini.

Begitu juga Anwar sendiri sama lantangnya mengkritik Daim secara terbuka, khususnya sejak menjadi perdana menteri dua tahun lalu. Namun, ketika mendengar berita kematian ahli perniagaan itu beliau menunjukkan belas dengan mengatakan negara mengiktiraf sumbangan Daim khususnya ketika menjadi menteri kewangan dari 1984 hingga 1991, dan 1999 hingga 2001.

Hubungan mereka sepanjang kira-kira empat dekad lalu agak sukar ditakrifkan: Adakah Daim dan Anwar kawan atau lawan, atau mungkin lebih mudah menggelar mereka ‘frenemies’ (kawan yang berlawan).

Dua individu ini pernah menjadi rakan sejawat dalam Jemaah Menteri sebelum bertukar menjadi saingan politik hebat, namun sekali lagi berganding bahu selepas PRU14, enam tahun lalu, tetapi sekali lagi bertelingkah selepas PRU 2022.

FMT meneliti hubungan dua tokoh ini sepanjang 42 tahun lalu.

Ahli Parlimen pada 1982, kemudian rakan dalam Jemaah Menteri

Anwar dan Daim pertama kali mencipta nama di peringkat kebangsaan apabila masing-masing menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Kuala Muda atas tiket Umno dalam PRU 1982.

Mereka mempunyai latar belakang yang begitu berbeza.

Anwar pemimpin pelajar manakala Daim ketika itu sudahpun berjaya sebagai ahli perniagaan, namun kedua-duanya dibawa masuk ke parti itu oleh Dr Mahathir Mohamad sebelum bertanding dalam pilihan raya. Ketika itu Mahathir baru mengambil alih sebagai perdana menteri daripada Hussein Onn.

Rombakan Jemaah Menteri pada 1983 melihat Mahathir membawa Anwar masuk sebagai menteri belia dan sukan. Dalam rombakan sekali lagi pada tahun berikutnya pula Daim dilantik sebagai menteri kewangan, manakala Anwar berpindah memegang portfolio pertanian.

Daim mengetuai Kementerian Kewangan selama tujuh tahun dan membawa Malaysia daripada kadar pertumbuhan -1.03% pada 1985 kepada 9.06% pada 1989 – satu kejayaan yang menjadikannya pakar ekonomi utama Mahathir.

Dua tahun kemudian, Daim menyerahkan portfolio kewangan kepada Anwar dan mengambil peranan sebagai penyokong.

Hubungan Anwar-Dr M makin keruh, Daim ‘kembali’

anwar ibrahim daim
Daim yang dilantik sebagai pengarah eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Kebangsaan dikatakan membalikkan banyak dasar ekonomi Anwar. (Gambar Facebook)

Ketika krisis kewangan Asia pada 1997, Mahathir sekali lagi mengambil Daim dalam kerajaan sebagai penasihat kewangan – tindakan dilihat seperti mengetepikan Anwar yang mengambil alih sebagai timbalan perdana menteri selepas Ghafar Baba, empat tahun sebelumnya.

Krisis kewangan yang mengakibatkan nilai ringgit merudum hampir 50% terhadap USD, turut melihat hubungan Mahathir-Anwar semakin keruh kerana pertelingkahan mengenai dasar ekonomi.

Anwar telah melaksanakan dasar seiring cadangan pemotongan perbelanjaan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa, yang tidak dipersetujui Mahathir.

Pada Disember 1997, Daim dilantik sebagai pengarah eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Kebangsaan, dan membalikkan banyak dasar ekonomi dilaksanakan Anwar.

Kemuncak pertelingkahan antara Mahathir dan Anwar, Anwar dipecat daripada jawatan dalam Jemaah Menteri pada 2 Sept 1998 kononnya atas dasar moral.

Anwar didakwa di mahkamah pada bulan yang sama, dan pada 14 April 1999 dijatuhi hukuman penjara enam tahun kerana salah guna kuasa.

Ketika itu, Anwar mendakwa wujud konspirasi untuk membunuh kerjaya politiknya malah menamakan Daim sebagai antara dalangnya.

Atas permintaan Mahathir, Daim mengambil semula portfolio kewangan dengan tugas utama membawa Malaysia keluar daripada kemelut krisis kewangan Asia yang berlanjutan sehingga tahun 2000-an.

Anwar pula menuduh Daim yang juga bendahari Umno, terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa semasa pertama kali menjadi menteri kewangan.

Tiada tindakan diambil berkait dakwaan berkenaan, dan Daim terus menjadi menteri kewangan sehingga mengundurkan diri pada 2001 dengan dianggap memainkan peranan penting membantu Malaysia mengatasi krisis kewangan.

Anwar bebas, pertelingkahan berterusan

Anwar dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan liwat oleh Mahkamah Tinggi pada 2012.

Beliau kemudian mengetuai Pakatan Rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ketika itu dipimpin Najib Razak. Bagaimanapun, pembebasannya diterbalikkan Mahkamah Rayuan pada Mac 2014 menyebabkan Anwar sekali lagi dihukum penjara lima tahun.

Daim memilih menjauhkan diri selepas meninggalkan arena politik, tetapi sekali lagi muncul untuk berkempen bagi pihak BN dalam PRU 2013. Ketika berkempen, beliau dilaporkan Malaysian Insider melabel Pakatan Rakyat sebagai ‘keliru’ manakala Anwar dikatakan ‘penipu besar’.

Beliau turut mendakwa Anwar tidak cekap sebagai menteri kewangan dan meminta nasihatnya hampir setiap hari untuk mengetuai kementerian berkenaan.

Pada 2015, Anwar mengulangi dakwaan salah guna kuasa terhadap Daim, malah menawarkan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya mahu melaksanakan siasatan.

Pada tahun itu juga, Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan dan hukuman terhadap Anwar, menyebabkan beliau kembali ke penjara.

Daim dipecat Umno, berbaik dengan Anwar

anwar ibrahim
Daim berkempen untuk Anwar ketika PRK Port Dickson pada Oktober 2018.

Pada 2015, Mahathir mula mengkritik Najib berhubung skandal 1MDB, dan meletak jawatan dari Umno pada tahun berikutnya.

Kejadian signifikan berlaku pada 5 Sept 2016 yang mengubah haluan politik Malaysia, apabila Mahathir menghadiri mahkamah di Kuala Lumpur ketika Anwar di situ dan mereka bersalaman. Itu kali pertama mereka bersemuka dalam tempoh 18 tahun.

Anwar ketika itu masih dalam penjara, tetapi Mahathir bersetuju bekerjasama dengan pembangkang bagi menumbangkan kerajaan BN pimpinan Najib pada PRU14.

Mahathir kemudian mengetuai Pakatan Harapan, dan Daim kembali beraksi apabila berkempen untuk pembangkang. Akibatnya, Daim dipecat Umno pada 4 Mei 2018, tetapi lima hari kemudian PH mencipta sejarah apabila mengalahkan BN dalam PRU.

Seminggu kemudian, Anwar diberi pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V, seterusnya menghapuskan semua tuduhan jenayah terhadapnya.

Anwar dan Daim ketika itu dilihat melupakan semua persengketaan, dan beberapa kali bertemu untuk membincangkan isu ekonomi.

Pada masa itu, Mahathir sekali lagi menjadi perdana menteri manakala Daim dilantik sebagai pengerusi Majlis Penasihat kerajaan, malah turut berkempen bagi pihak Anwar dalam PRK Port Dickson dalam usaha pemimpin itu kembali ke Dewan Rakyat.

Mahathir kemudian berdalih berhubung peralihan dipersetujui, yang sepatutnya melihat Anwar mengambil alih sebagai perdana menteri.

Susulan itu Daim terpaksa menafikan dakwaan beliau bekerjasama dengan Mahathir untuk menghalang Anwar memegang jawatan itu seperti dikatakan penyokong tegar Anwar, Abdullah Sani Abdul Hamid yang kemudian memohon maaf atas kenyataan berkenaan.

Selepas kejatuhan kerajaan PH pada Februari 2020, Daim berundur dari perhatian umum tetapi tidak lama selepas itu menjadi isu perbahasan umum.

Kertas Pandora, siasatan SPRM, sengaja mencari salah?

Kertas Pandora dibocorkan pada Oktober 2021, yang mendedahkan butiran akaun luar pesisir milik pelbagai pemimpin dunia. Daim antara yang dinamakan, namun beliau menafikan sebarang salah laku sama ada oleh dirinya sendiri mahupun ahli keluarga.

Bagaimanapun, pada Februari 2023, hanya tiga bulan selepas Anwar menjadi perdana menteri ke-10, SPRM mula menyiasat Daim dan beliau diarahkan mengisytiharkan asetnya.

Pada Disember, SPRM menyita Menara Ilham milik keluarga Daim. Tindakan itu diselar Daim yang menyifatkannya sebagai satu pemburuan untuk sengaja mencari kesalahan.

Anwar menafikan sebarang pembabitan dalam siasatan itu, tetapi berkata ia bukti bahawa tidak siapapun terlepas daripada siasatan SPRM dalam memerangi rasuah.

Pada Januari tahun ini, Daim dan isterinya Naimah Khalid mengaku tidak bersalah gagal mematuhi terma notis pengisytiharan aset dikeluarkan oleh SPRM.

Daim meninggal dunia di Hospital Assunta pada pagi Rabu lalu, kira-kira sebulan selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu.

Mahathir menyuarakan dukacita atas kehilangan sahabatnya, dan berkata Daim sepatutnya disanjung kerana sumbangannya tetapi di akhir hayatnya diherdik tanpa sebab. Bekas perdana menteri itu turut mendakwa kesihatan Daim semakin merosot akibat apa yang berlaku terhadapnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.