HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Kerajaan perpaduan gred ‘D’, Bersih iktiraf Ismail PM terbaik sejak 2009

-

Bersih berkata gred diterima kerajaan perpaduan cerminan kemajuan terhad melaksanakan reformasi, termasuk jurang antara retorik dan tindakan.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Bersih berkata Ismail Sabri Yaakob (kanan) dapat urus peruntukan sama rata kepada wakil rakyat pembangkang, manakala Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilihat belum laksana reformasi besar-besaran. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR:
Bersih menilai kerajaan perpaduan dengan gred ‘D’ mengambil kira prestasi sejak dua tahun pembentukannya, selain meletakkan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri terbaik, sejak 2009.

Pengerusi Faisal Abdul Aziz berkata gred diterima kerajaan perpaduan mencerminkan kemajuan terhad melaksanakan reformasi, serta jurang antara retorik dan tindakan.

“Kami percaya kerajaan gabungan pasca pilihan raya bukan alasan meninggalkan semua reformasi dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Ini mengambil kira terdapat empat janji utama dalam kedua-dua manifesto BN dan PH – yang mana menunjukkan mereka bersetuju – tetapi belum dilaksanakan sepenuhnya.

“Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri adalah pemimpin PH ketika janji-janji ini dibuat kepada pengundi,” katanya ketika membentangkan ‘kad laporan’ untuk prestasi kerajaan.

Kumpulan pemerhati pilihan raya itu meletakkan Ismail pada kedudukan tertinggi dalam kalangan lima perdana menteri, termasuk Anwar, Muhyiddin Yassin, Dr Mahathir Mohamad, dan Najib Razak.

Bersih meletakkan Mahathir ketika menerajui kerajaan PH pada kedudukan kedua, disusuli Anwar, Muhyiddin, dan Najib.

Ia melaporkan reformasi dilakukan ketika pentadbiran Ismail, termasuk peruntukan dana sama rata kepada pembangkang menerusi memorandum persefahaman (MoU) dengan PH.

Menurutnya lagi, pemeteraian MoU itu membawa kepada sokongan dwipartisan bagi penggubalan undang-undang antilompat dan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Menurut Bersih, ketiadaan reformasi yang ketara di bawah pentadbiran Anwar sesuatu yang membingungkan, memandangkan kerajaan perpaduan menikmati sokongan yang kuat di Parlimen berbanding ketika pentadbiran Ismail dan Mahathir, yang melakukan lebih banyak reformasi dalam tempoh dua tahun pertama.

Maka, perbezaan ini menunjukkan isunya bukan terletak pada sokongan di Parlimen tetapi iltizam politik, katanya.

Sementara itu, Bersih mengiktiraf usaha kerajaan perpaduan memperkasa jawatankuasa Parlimen, namun jawatankuasa-jawatankuasa ini kekurangan dana dan kakitangan, katanya.

Bersih juga mengiktiraf kesudian Anwar mengadakan libat urus dengan pertubuhan-pertubuhan masyarakat, seperti pertemuan mereka pada awal tahun ini.

Sementara itu, Bersih menggesa pentadbiran Anwar menggubal beberapa undang-undang sebelum PRU akan datang, termasuk Akta Perkhidmatan Parlimen, Akta Pendanaan Politik, Akta Parlimen Berpenggal Tetap, serta undang-undang mengenai dana pembangunan sama rata untuk Ahli Parlimen.

Bersih juga menyeru tempoh perkhidmatan perdana menteri dihadkan kepada tidak melebihi 10 tahun, menyegerakan pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya awam, dan membolehkan Parlimen selia pelantikan jawatan-jawatan penting, seperti untuk Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.