
Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail menjatuhkan hukuman enam sebatan terhadap Mohd Affendi Awang, 42, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.
Dia turut dikenakan denda RM4,000 atau enam bulan penjara, jika gagal membayar denda.
Hakim memerintahkan hukuman sebatan dijalankan selepas solat Jumaat 6 Dis ini di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, sebaik tempoh rayuan tamat.
Kamalruazmi dalam penghakimannya berkata, dalam menjatuhkan sebarang hukuman, matlamat utama dalam syariat dan daripada segi agama adalah memberi pengajaran, pendidikan dan pencegahan supaya perkara sama tidak berulang ke atas tertuduh serta sebagai peringatan pencegahan ke atas orang awam secara amnya.
“Seorang mukmin itu tidak jatuh dalam lubang sama sebanyak dua kali. Kamu (Affendi) pernah disebat dan dipenjara, tetapi buat lagi (berkhalwat). Hukuman kali pertama (sebatan kerana khalwat) sepatutnya sudah memberi keinsafan,” katanya menurut Harian Metro.
Hukuman sebat dijatuhkan ke atas tertuduh kerana ia kesalahan ketiganya.
Tertuduh pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Kemaman pada 11 Julai 2023.
Bapa kepada lima anak itu mengulangi kesalahan sama pada 25 Jan lalu yang menyaksikan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman empat sebatan, denda RM3,000 atau enam bulan penjara, jika gagal membayar denda pada 19 Feb lalu.
Tertuduh merupakan pesalah khalwat pertama di Terengganu dikenakan empat sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu kerana melakukan kesalahan khalwat berulang.
Menurut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) ( Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan sebatan sehingga enam kali, denda maksimum RM5,000 atau tiga tahun penjara berkuat kuasa 1 Jan lalu.
Tertuduh didakwa melakukan khalwat bersama seorang wanita 52 tahun di sebuah rumah di Kemaman pada 1.40 pagi 16 Jun lalu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram