
Tanpa mendedahkan pihak terbabit, beliau mendakwa, gabungan itu turut ditawarkan jawatan perdana menteri jika bersetuju dengan cadangan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, beliau menolak tawaran itu kerana tidak sanggup mengkhianati rakan dalam kerajaan perpaduan ketika ini.
“Ada (pihak) yang tawar, kononnya mahu menggantikan kerajaan sedia ada dan mahu (mencadangkan) kita (BN) sebagai perdana menteri,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen BN Wilayah Persekutuan 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
“Saya cakap kepada mereka (yang pujuk), jangan buang masa, marilah kita perkukuh kerajaan perpaduan (sedia) ada … Saya tidak akan mengkhianati kawan, itu pegangan saya walaupun ramai mengkhianati saya.
“Dalam politik, jangan jangan pijak kepala orang. Jika kita pijak orang lain, ingat satu hari nanti apabila kita berada di atas, orang lain akan pijak kita.”
Dalam pada itu, Zahid mendedahkan terdapat Ahli Parlimen pembangkang bertemu beliau dengan cadangan membentuk jajaran baharu kerajaan perpaduan dengan syarat mereka diberi empat jawatan menteri.
“Mereka (pembangkang) sudah merasakan nikmat (jadi) menteri, timbalan menteri, menjadi kerajaan. Minggu lepas, ada Ahli Parlimen mereka datang berjumpa saya,” katanya.
“Mereka kata, marilah kita bersama bentuk kerajaan baharu bawah panji kerajaan perpaduan. Kami mahu masuk semula (dalam kerajaan), berilah kami empat menteri (kata mereka).”
Menurutnya, tindakan ini menunjukkan pembangkang kini semakin lemah sehingga terdesak melakukan apa sahaja untuk menjadi kerajaan semula.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram