HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

BN ketengah banyak calon muda, muka baharu pada PRU16, kata Zahid

-

Keberhasilan strategi ini sudah terbukti ketika PRK Mahkota dan Nenggiri, kata pengerusi BN.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Pengerusi BN Zahid Hamidi berucap pada Konvensyen BN Perak 2024 di Hotel Casuarina, Meru hari ini. (Gambar Bernama)

IPOH:
Barisan Nasional (BN) akan mengetengahkan ramai calon muka baharu, terutamanya daripada kalangan anak muda, pada PRU16, kata Pengerusi BN Zahid Hamidi.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, usaha itu menjadi satu daripada lima langkah yang digariskan dalam memperkukuh parti-parti komponen BN untuk meraih sokongan rakyat.

“Saya merasakan bahawa kita tiada pilihan untuk mengetengahkan calon-calon muka baharu, terutamanya dalam kalangan anak muda,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen BN Perak di Hotel Casuarina, Meru, hari ini.

“Kesesuaian calon bukan sekadar usia muda, tetapi mereka yang berpengalaman dan berakar umbi berpotensi membawa kemenangan gemilang.”

Turut hadir, Setiausaha Agung BN Zambry Abd Kadir; Pengerusi BN Perak Saarani Mohamad, yang juga menteri besar; Bendahari Agung MIC M Ramasamy merangkap pengerusi MIC Perak; dan Timbalan Presiden MCA Mah Hang Soon yang juga pengerusi MCA Perak.

Selain itu, wakil Pakatan Harapan (PH) yang turut hadir termasuk Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi; Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee, yang juga bendahari DAP Perak; serta Pengerusi PKR Perak Mohamad Hairul Amir Sabri.

Zahid berkata, contoh terbaik ialah kemenangan BN di PRK Nenggiri sebelum ini, apabila gabungan itu berjaya merampas kawasan di negeri pembangkang dengan menampilkan calon anak muda.

“Kita masih mampu menang jika kita melakukan ‘game changer’ di kawasan tertentu. Di Mahkota, kita sekali lagi membuktikan hipotesis itu benar. Ini bukan soal mengetepikan pemimpin lama, tetapi mewujudkan kombinasi yang baik antara generasi lama dan baharu.

“Kita pernah diberi peluang ketika muda, dan kini menjadi tanggungjawab kita untuk membuka ruang kepada calon muda untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Ditanya mengenai proses pemilihan calon, Zahid berkata BN, khususnya di Perak, telah menyusun strategi untuk memastikan calon terbaik diketengahkan.

Berkenaan rundingan kerusi dengan PH untuk PRU16, Zahid yang juga presiden Umno berkata, parti dalam kerajaan perpaduan boleh memberi cadangan tetapi kepercayaan mesti diberikan kepada kepimpinan atasan untuk membuat keputusan bagi mengelakkan berlakunya pertindihan kerusi.

Bagaimanapun, katanya, tiada perbincangan mengenai perkara itu setakat ini, sebaliknya perkara itu dijangka hanya akan dibincangkan selepas Parlimen dan DUN bubar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.