
Menteri pembangunan usahawan dan koperasi itu mendapat undian tertinggi untuk jawatan itu dalam pemilihan PH Sabah yang berlangsung hari ini, lapor Berita Harian.
“Saya kini memegang tugas dan cabaran berat untuk memimpin PH Sabah bagi penggal seterusnya terkait dengan banyak perkara dalam membawa pembangunan untuk rakyat Sabah, terkait dengan hak kita dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan memastikan perdana menteri dan kerajaan perpaduan pusat terus stabil memimpin Malaysia,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Ahli Parlimen Penampang juga berkata beliau akan memanggil mesyuarat pertama PH Sabah di bawah pimpinannya dalam masa terdekat terutama untuk membincangkan persediaan menghadapi PRN.
Katanya, walaupun di bawah kepemimpinan baharu, PH Sabah kini dalam gagasan lebih besar di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak kira dipimpin oleh PKR, DAP, Upko atau Amanah.
“Pengerusi PH itu hanya nombor dua. Jadi, semoga kita dapat bekerjasama di bawah pengerusi baharu sama seperti kerjasama dengan pengerusi sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Christina yang juga menteri pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar Sabah, berkata kekalahannya tidak memberi kesan kepada fokus menghadapi PRN dan PH Sabah kekal bekerjasama rapat.