HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

KPM maklum cadangan kembalikan nama SJKC Tun Omar Ong Yoke Lin

-

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM mendengar cadangan yang diterima tetapi setiap cadangan perlu melalui proses tertentu.

0
Shares
Total Views: 1
fadhlina
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata Kementerian Pendidikan mengambil maklum cadangan mengembalikan semula nama asal SJKC Tun Omar Ong Yoke Lin yang ditukarkan ke SJKC Gamuda Cove.

BUTTERWORTH:
Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil maklum cadangan untuk mengembalikan semula nama asal Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tun Omar Ong Yoke Lin di Dengkil, Selangor yang ditukarkan ke SJKC Gamuda Cove.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM mendengar semua cadangan yang diterima, namun cadangan tersebut perlu melalui proses tertentu.

“Kita mempunyai proses yang perlu diikuti, dan setakat ini saya tidak melihat perkara ini sebagai sesuatu yang sukar. Malah, kita sentiasa mendengar pandangan yang dikemukakan.

“Kami akan memberi perhatian terhadap cadangan ini… Ada pandangan yang disuarakan, dan kami mendengarnya serta mengambil maklum,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Khazanah Reformasi Walk di Seberang Jaya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi ketika berucap merasmikan sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Barisan Nasional (BN) di Kuala Lumpur, berkata bahawa beliau akan membawa cadangan untuk mengembalikan nama SJKC Gamuda Cove, kepada nama asal iaitu SJKC Tun Omar Ong Yoke Lin ke mesyuarat Jemaah Menteri.

Pengerusi BN itu menjelaskan bahawa cadangan tersebut yang dikemukakan oleh Presiden MCA Wee Ka Siong, tidak berkaitan isu perkauman, sebaliknya, ia bertujuan mengekalkan nama asal sekolah tersebut yang diluluskan pada 2017.

Dalam dalam ucapannya, Wee berkata nama pengasas MCA iaitu Tun Omar telah diluluskan oleh bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid pada 26 Okt 2017, bagaimanapun nama tersebut digugurkan ketika majlis pecah tanah untuk pembinaan SJKC Gamuda Cove pada 4 Dis lepas.

Tun Omar Ong adalah pengasas MCA dan tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan, selain merupakan menteri dalam Jemaah Menteri perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.