HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Tengku Zafrul akui ada bincang dengan PKR, tapi belum buat keputusan

-

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berkata perbincangan awal dengan PKR tidak membabitkan jawatan di peringkat negeri mahupun PRK.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Tengku Zafrul Aziz berkata beliau akan memaklumkan secara rasmi kepada pucuk pimpinan parti jika sudah membuat keputusan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA:
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Tengku Zafrul Aziz mengakui pernah berbincang dengan PKR, tetapi belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu menyertai parti itu.

Menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu turut menjelaskan perbincangan awal berkenaan tidak membabitkan jawatan di peringkat negeri mahupun PRK.

“Saya berpegang kepada prinsip apabila saya membuat sesuatu keputusan, sudah tentu saya akan membuatnya dengan penuh adab dan memaklumkan secara rasmi kepada pucuk pimpinan parti saya,” katanya dalam kenyataan.

Jumaat lalu, FMT memetik sumber dalaman Umno Selangor berkata, rundingan sedang berjalan berhubung kemungkinan Tengku Zafrul meninggalkan parti itu untuk menyertai PKR.

Tetapi, Presiden Umno, Zahid Hamidi semalam mengesahkan tiada sebarang pemakluman daripada ketua Umno Kota Raja itu berhubung perkara terbabit.

Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan ada perbincangan awal penyertaan Tengku Zafrul ke parti pimpinannya namun mahu proses itu dilakukan secara baik tanpa menjejaskan hubungan dengan Umno.

Perdana menteri dilaporkan berkata PKR berpegang prinsip terbuka menerima sesiapa saja, tetapi tidak mengajaknya.

Tengku Zafrul yang terkenal sebagai tokoh korporat dan kewangan sebelum aktif dalam politik turut terkejut dengan kenyataan pemimpin Umno berhubung perkara itu.

“Tambahan pula, sejak isu ini mula diketengahkan, saya tidak menerima sebarang panggilan dari pucuk pimpinan Umno untuk bertanyakan isu sebenar.”

Beliau turut menyifatkan hak memilih landasan perjuangan politik ialah hak asasi dan mutlak individu kerana tanpa keserasian, mustahil seseorang itu mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta negara.

Beliau percaya rakyat sudah muak dengan politik remeh dan tidak sihat, termasuk serangan belakang tabir tanpa asas dan agenda cah keting.

“Saya yakin apa yang rakyat mahu bukan politik ekstrem, tetapi usaha kita semua untuk membina rakyat dan negara.

“Ramai maklum isu-isu ini semua telah saya ketengahkan sebelum ini dalam konteks Umno Selangor, tetapi malangnya perkara ini masih membelenggu Umno Selangor,” katanya.

Tengku Zafrul turut berikrar untuk terus memfokuskan kepada dasar rakyat, berdasarkan politik membina dan bukannya menghancurkan.

“Saya juga percaya dan yakin khemah besar kerajaan perpaduan dibina selama ini mempunyai semangat kerjasama utuh dan toleransi tinggi,” katanya.

Sebelum ini timbul spekulasi penyertaan Tengku Zafrul ke PKR turut didakwa berkait perubahan tampuk pemerintahan Selangor yang kini diketuai Naib Presiden Amirudin Shari.

Ini memandangkan tempoh perkhidmatannya sebagai Ahli Dewan Negara akan tamat pada hujung 2025 selain wujud pendapat Amirudin selaku pemimpin kanan PKR perlu berkhidmat di kerajaan persekutuan.

Namun, Amirudin semalam menegaskan beliau akan kekal di negeri itu sehingga ke akhir penggal ini demi menjamin kestabilan ekonomi dan kerajaan perpaduan seperti dinasihatkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Tengku Zafrul menjadi ahli Umno sejak 1997 sebelum bergiat aktif dalam politik pada 2022, malah diletakkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kuala Selangor pada PRU15 namun tewas.

Walaupun kalah kepada Dzulkefly Ahmad dari Pakatan Harapan (PH), Tengku Zafrul dilantik dalam Kabinet di bawah pentadbiran Anwar.

Pada 2020 hingga 2022, beliau dilantik menteri kewangan di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau menang ahli MKT pada Mac lalu dalam pemilihan parti penggal 2023-2026.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.