
Remaja itu mengaku bersalah selepas tuduhan dibaca di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.
Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan hukuman pada 19 Feb ini bagi menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, lapor Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita warga Malaysia berusia 26 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatannya, dalam pesawat EY418, Etihad Airways dari Abu Dhabi ke Kuala Lumpur, pada jam 12 tengah malam, 18 Dis lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara 10 tahun, denda atau sebat atau dua daripada hukuman itu.
Mengikut fakta kes, remaja itu yang duduk di sebelah wanita itu mengusap paha hingga punggung mangsa menggunakan tangannya.
Tertuduh kemudiannya meletakkan kepalanya di lengan mangsa dan berpura-pura tidur.
Mangsa yang tidak berpuas hati memanggil pramugari yang bertugas seterusnya membuat laporan polis selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur ‘Ain Madihah Zulkifli manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Zahidi Afiq Mohd Zaid.
Semasa prosiding, Zahidi merayu anak guamnya dikenakan jaminan yang rendah. Katanya, remaja itu datang ke negara ini untuk melancong dan melawat bapa saudaranya yang bekerja sebagai pelayan restoran di Bukit Bintang.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan dua penjamin warga tempatan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram