
Pejabat Ketua Menteri dalam kenyataan memaklumkan perkara itu dipersetujui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada minggu lepas.
Mesyuarat itu juga bersetuju memberikan pengurangan tunggakan denda cukai tanah dan petak sebanyak 50% kepada semua pemilik yang membuat bayaran mulai 1 Mac hingga 31 Mei depan.
“Kedua-dua insentif dan tawaran itu turut dipanjangkan kepada pemilik tanah atau petak yang menerima notis denda 6A (cukai tanah) atau notis denda 11 (cukai petak), bagaimanapun tawaran berkenaan tidak dipanjangkan kepada pembayar membuat pembayaran secara ansuran,” menurut kenyataan itu.
Tawaran berkenaan bukan berbentuk retrospektif dan tidak boleh dinikmati pemilik tanah atau petak yang membuat pembayaran tunggakan denda lewat sebelum tarikh pengecualian serta pengurangan dikuatkuasakan.
Semakan mendapati terdapat tunggakan denda lewat tinggi melibatkan 40,371 akaun cukai tanah dan 67,537 akaun cukai petak di Pulau Pinang yang berjumlah hampir RM40.1 juta.
“Sekiranya pemilik tidak membuat bayaran cukai tanah serta cukai petak dengan segera, dikhuatiri tanah atau petak mereka akan dilucut hak oleh pihak berkuasa negeri akibat tunggakan bayaran sedia ada.”
Insentif diskaun bertujuan menggalakkan pemilik tanah dan petak membayar cukai bagi 2025 lebih awal, selain meringankan beban pemilik mempunyai tunggakan denda cukai tinggi akibat tidak membuat pembayaran sebelum 31 Mei setiap tahun.
Sehubungan itu, kerajaan negeri berharap semua pemilik mengambil peluang membuat bayaran secepat mungkin mulai 2 Jan depan bagi menikmati tawaran pengecualian tunggakan denda.
Pembayaran boleh dibuat menerusi kaunter hasil Pejabat Daerah dan Tanah atau melalui portal, PgLAND secara sekali gus (lump sum).
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram