HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Kami perlukan pemimpin akar umbi, bukan pereka aplikasi, kata Pemuda PKR Selangor

-

Ketuanya Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata bakal ketua Pemuda PKR perlu mempunyai gerak kerja di akar umbi dan memperjuangkan isu anak muda.

0
Shares
Total Views: 1
Muhammad Izuan
Ketua Pemuda PKR Selangor, Muhammad Izuan Ahmad Kasim menamakan Timbalan Ketua Pemuda PKR, Kamil Munim lebih layak untuk menerajui sayap parti itu.

PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Pemuda PKR berkata sayap itu memerlukan pemimpin yang mendapat sokongan akar umbi dan bukannya pereka aplikasi bagi menerajui parti menghadapi PRU16.

Ketua Pemuda PKR Selangor, Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata bakal ketua sayap itu juga perlu mempunyai gerak kerja di akar umbi dan memperjuangkan isu anak muda.

“Sayap Pemuda PKR perlu dilihat memperjuangkan isu-isu berkaitan anak muda agar sokongan golongan itu akan beralih kepada kerajaan perpaduan walaupun trend itu sudah bermula,” katanya kepada FMT.

Izuan berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan usahawan teknologi yang disenaraikan Forbes sebagai ’30 under 30′ di Asia pada 2020, Dr Wan Hasifi Amin Wan Zaidon yang menawarkan diri bertanding jawatan Pemuda PKR pada pemilihan dijangka berlangsung tahun depan.

Semalam, Wan Hasifi berkata jika diberi peluang memimpin Pemuda PKR, antara perkara akan dilakukannya termasuk membangunkan aplikasi pembelian barangan asas secara berkumpulan, yang dapat menjamin penjimatan hingga 20% setiap bulan, khusus untuk ahli parti.

Ketika ditanya siapa yang layak menerajui sayap itu, Izuan berkata, Timbalan Ketua Pemuda PKR, Kamil Munim dilihat lebih berpotensi jika dilihat gerak kerja akar umbi dan sokongan terhadapnya.

Sementara itu, seorang lagi pemimpin Pemuda PKR, Asheeq Ali Sethi Alivi berkata Wan Hasifi perlu bermula dari sekarang dengan mengambil bahagian secara aktif dalam gerak kerja di bahagian yang dianggotai.

“Mulakan kerja di lapangan terlebih dahulu dan sekiranya gerak kerja saudara dapat membantu perjuangan parti keramat ini, maka cerah lah masa depan saudara dalam parti keramat ini,” katanya.

Asheeq yang juga ketua Biro Guaman dan Undang-Undang Pemuda PKR berkata bagi memimpin sayap Pemuda, seseorang itu haruslah mempunyai idealisma yang kukuh dan berupaya memimpin lebih 200,000 anggota Pemuda di seluruh negara.

Dalam pada itu, Kamil yang dihubungi FMT mengalu-alukan mana-mana individu untuk menawarkan khidmat kepada rakyat menerusi PKR.

“Penyertaan mana-mana pihak atau individu yang punya kepakaran tertentu sudah tentu dapat memberi nilai tambah dan seterusnya menyuburkan lagi amalan demokrasi dalam PKR,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.