
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata pihaknya sedang berunding dengan agensi berkaitan, seperti Fama Corporation Sdn Bhd bagi memastikan bekalan kelapa dapat ditambah melalui import dari negara pengeksport, khususnya Indonesia.
“Sekarang harga santan agak tinggi dan kita akan menghadapi perayaan yang berturut-turut. Kita juga berharap penanam kelapa tempatan dapat meningkatkan hasil bagi memenuhi permintaan domestik,” katanya selepas lawatan kerja ke Taman Agro Duriotourism di Mardi Kuala Kangsar.
Hadir sama, Ketua Pengarah Mardi, Mohamad Zabawi Abdul Ghani dan Pengerusi Mardi, Azman Ismail.
Untuk jangka panjang, beliau yang lebih dikenali Mat Sabu berkata, kementeriannya menggalakkan penanaman kelapa sebagai usaha meningkatkan bekalan dan beliau optimis kerana semakin ramai pengusaha menyedari potensi keuntungan dalam bidang itu.
“Memang benar pelaburan dalam sektor pertanian di Malaysia masih rendah berbanding negara lain, tetapi kita akan terus memberi galakan kepada mereka untuk melibatkan diri.”
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram