HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Kontroversi sambutan Krismas: PAS ambil tindakan undang-undang terhadap Nga

-

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata PAS meletakkan liabiliti sepenuhnya kepada menteri itu sekiranya keceluparannya mencetuskan ketegangan.

0
Shares
Total Views: 1
Christmas function 2
Takiyuddin Hassan berkata Naib Ketua Pemuda PAS Hanif Jamaluddin hanya mempersoalkan sensitiviti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan selepas sambutan Krismas di kementerian itu disertai kakitangan beragama Islam.

PETALING JAYA:
PAS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap ‘tohmahan dayus’ dan ‘fitnah jahat’ Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming selepas dikritik parti itu berkait sambutan Krismas di kementerian itu.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan mendakwa Nga menuduh PAS sebagai ‘sesat’, ‘menyebar ajaran sesat’, ‘menunggang agama’, ‘merosakkan keharmonian masyarakat’ dan ‘menyekat sambutan Krismas’ selepas Naib Ketua Pemuda PAS Hanif Jamaluddin mengkritik majlis itu kerana melibatkan kakitangan beragama Islam.

“PAS meletakkan liabiliti sepenuhnya kepada pemimpin DAP yang menjadi menteri ini sekiranya akibat keceluparannya akan mencetuskan ketegangan dan mengulangi sejarah hitam dalam negara yang tidak pun menguntungkan mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan.

“Di sebalik cakap tentang keharmonian, perpaduan, kesatuan dalam kepelbagaian, saling-menghormati dan sebagainya, Nga sendiri melanggar dan mencabar bukan sahaja bidang kuasa pihak berkuasa agama, malah secara terang-terangan mencampuri urusan agama Islam.”

Katanya, dengan menyebut PAS bukan sahaja ‘sesat’ tetapi ‘menyebarkan ajaran sesat’, Nga yang juga naib pengerusi DAP itu boleh dianggap melanggar hak dan sempadan kuasa serta kedudukan Yang Dipertuan Agong dan raja-raja sebagai ketua agama Islam.

“Beliau juga mencabar bidang kuasa Majlis Fatwa Kebangsaan dan pihak-pihak berkuasa agama yang bertanggungjawab ke atas penentuan status keagamaan mana-mana orang atau kumpulan orang Islam.
“Kuasa ini tidak dimiliki oleh orang atau pihak lain lebih-lebih lagi seorang bukan Islam,” katanya.

Takiyuddin turut mempertahankan kenyataan Hanif yang menurutnya hanya mempersoalkan sensitiviti kementerian berkait isu itu, selain merujuk garis panduan Majlis Fatwa Kebangsaan 2005 berhubung penglibatan orang Islam dalam acara merayakan hari kebesaran agama orang bukan Islam.

“Berdasarkan pertimbangan itu, persoalan dan kebimbangan yang dibangkitkan oleh Hanif adalah wajar dan seharusnya ditangani dengan cermat serta telus,” katanya.

Beliau juga menafikan dakwaan Nga bahawa ucapan selamat sempena sambutan Krismas daripada PAS sebagai ‘hipokrasi tertinggi’ kerana mengkritk sambutan Krismas di kementerian itu.

Katanya, ucapan selamat sempena sambutan perayaan agama dan budaya masyarakat di negara ini menjadi amalan PAS sejak bertahun-tahun sebagai tanda penerimaan dan penghormatan terhadap kepelbagaian agama dan budaya yang menjadi ciri penting masyarakat.

Kontroversi itu muncul selepas satu video menunjukkan Nga menghadiri sambutan Krismas di kementeriannya yang turut dihadiri kakitangan beragama Islam.

Sumber kementerian memberitahu FMT, mereka tidak memaksa mana-mana kakitangan untuk menghadiri majlis itu, dan kumpulan penyanyi yang membuat persembahan dalam acara tersebut adalah Bumiputera Sabah dan Sarawak yang beragama Kristian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.