
Lim, yang juga pengerusi DAP, berkata ia akan menimbulkan keraguan tentang keikhlasan Umno menjadi rakan kongsi dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Umno mesti sedar bahawa sebarang program bersama dengan parti pembangkang PAS, baik perhimpunan solidariti ataupun demonstrasi, akan menimbulkan keraguan tentang kestabilan politik dan kedudukannya dalam kerajaan perpaduan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat DAP Pulau Pinang di sini, disertai veteran parti itu, Lim Kit Siang.
Lim juga membidas Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh kerana mempersoalkan sama ada pengampunan diraja Anwar pada 2018 telah melalui Lembaga Pengampunan.
Beliau berkata Akmal pada dasarnya mempersoalkan kewibawaan Agong serta keabsahan Anwar sebagai Ahli Parlimen dan perdana menteri.
“Sebagai ahli kerajaan perpaduan tindakan sedemikian secara terbuka berniat mencabar malah menggugat kestabilan politik kerajaan perpaduan dan kedudukan perdana menteri.
“Saya mohon agar tindakan yang sewajarnya dapat diambil oleh perdana menteri untuk membetulkan keadaan ini demi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan perpaduan,” katanya.
Perhimpunan pimpinan PAS itu akan diadakan pada hari yang sama Mahkamah Rayuan mendengar permohonan Najib mengenai perintah tambahan yang didakwa meletakkannya di bawah tahanan rumah.
Ia merupakan kali pertama Umno dan PAS bekerjasama sejak kerjasama mereka menerusi Muafakat Nasional (MN) berakhir pada 2022.
Lebih 200 bas membawa penyokong Najib dijangka menghadiri perhimpunan itu, terdiri daripada ahli Umno dan PAS. Pemimpin Bersatu juga dijangka hadir.
Amanah juga berkata ia tidak akan menghalang ahlinya daripada menghadiri perhimpunan itu, tetapi Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang telah menggesa rakan partinya supaya tidak mengambil bahagian.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram