HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Lebih banyak dana bagi Sabah, Sarawak tunjuk komitmen kerajaan terhadap MA63

-

Negeri Malaysia Timur diperuntukkan RM12.6 bilion untuk pembangunan menerusi Belanjawan 2025 manakala geran khas digandakan menjadi RM600 juta.

0
Shares
Total Views: 1
sabah people
Pakar ekonomi Madeline Berma berkata kedua-dua negeri masih ketinggalan dari segi ekonomi berbanding Semenanjung, justeru memerlukan bantuan untuk tempoh tertentu bawah ‘sistem penyamaan fiskal’. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA:
Langkah menaikkan peruntukan bagi Sabah dan Sarawak menunjukkan kemahuan kerajaan persekutuan menunaikan kewajipannya bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata penganalisis.

Penganalisis berkata, langkah itu menepis dakwaan bahawa Putrajaya hanya bercakap kosong mengenai perjanjian itu, ditandatangani antara United Kingdom, Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak yang membawa kepada pembentukan Malaysia.

Menerusi Belanjawan 2025, Sabah dan Sarawak masing-masing akan menerima dana pembangunan sebanyak RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion, meningkat daripada RM6.6 bilion dan RM5.8 bilion bawah belanjawan terdahulu.

Selain itu, geran khas interim untuk Sabah dan Sarawak pada 2025 akan digandakan kepada RM600 juta masing-masing, daripada RM300 juta sebelumnya.

Peningkatan dana bagi kedua-dua negeri itu dilaksanakan buat tahun kedua berturut-turut oleh kerajaan perpaduan bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Dalam Belanjawan 2024, jumlah geran khas melonjak kepada RM300 juta daripada hanya RM16 juta untuk Sarawak dan RM125.6 juta bagi Sabah sebelum ini.

Felo Akademi Sains Malaysia, Madeline Berma, berkata penggandaan nilai geran khas kepada RM600 juta pada 2025 harus dipuji, menunjukkan komitmen kerajaan perpaduan terhadap MA63.

“Peningkatan ini mencerminkan penambahbaikan dalam sistem pemindahan (dana) antara negeri dengan persekutuan. Perdana menteri telah berjanji untuk menyemak geran dan peruntukan bagi kedua-dua negeri itu secara berkala,” kata pakar ekonomi itu kepada FMT.

Beliau berkata, kedua-dua negeri itu masih ketinggalan dari segi ekonomi berbanding Semenanjung, justeru memerlukan bantuan untuk tempoh tertentu bawah ‘sistem penyamaan fiskal’.

Katanya, Sarawak dan Sabah masing-masing menyumbang 9.1% dan 5.5% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia pada 2023.

Namun, kedua-dua negeri mempunyai kadar kemiskinan sangat tinggi, dengan Sabah mendahului pada 19.7% dan Sarawak ketiga tertinggi iaitu 10.8% pada 2022, menurut Jabatan Perangkaan.

Madeline berkata, kenaikan nilai geran dan peruntukan khas itu perlu disemak secara berkala.

“Ada keperluan untuk memperuntukkan belanjawan lebih besar buat Sarawak dan Sabah bagi mengecilkan jurang perbezaan dengan Semenanjung, serta mengimbangi peruntukan belanjawan persekutuan yang tidak adil buat kedua-dua negeri itu pada masa lalu.

“Bukan sahaja peningkatan, Sabah dan Sarawak juga perlu mempunyai autonomi fiskal yang lebih besar dari segi penjanaan hasil dan menentukan keutamaan perbelanjaan,” katanya.

Katanya, kedua-dua negeri itu memerlukan autonomi yang lebih besar dalam membuat keputusan dan menggerakkan sumber negeri berbanding hanya menunggu penyelesaian atau penyediaan barangan dan perkhidmatan awam daripada kerajaan persekutuan.

Mencapai autonomi kewangan

Mengenai autonomi kewangan, Profesor Pengajian Asia University of Tasmania, James Chin, menegaskan geran khas itu bukan dalam bentuk wang yang disalurkan terus kepada Sabah dan Sarawak, sebaliknya kemudahan kredit disediakan oleh kerajaan persekutuan.

“Sebagai contoh, jika nilai geran ialah RM600 juta, kerajaan negeri masing-masing boleh berbelanja sehingga jumlah itu, kemudian mendapat bayaran balik,” katanya.

Katanya, pada masa ini jika Sabah dan Sarawak ingin berbelanja bagi projek besar, mereka perlu mendapatkan kebenaran Putrajaya.

“Mereka mahukan suntikan terus ke dalam belanjawan negeri. Kuching dan Kota Kinabalu berpandangan, jika wang itu diberikan sebagai tambahan kepada belanjawan negeri, ia akan membawa perubahan yang besar.”

Chin berkata, geran khas itu ialah peruntukan sementara sehingga Sabah, Sarawak, dan kerajaan persekutuan mempersetujui formula yang tetap. Sabah berpendirian, bawah MA63 ia berhak menerima 40% hasil negeri sebagai geran khas.

“Formula itu amat sukar dicapai. Kedua-dua pihak sudah membuat cadangan tetapi menurut pemahaman saya, jurangnya masih agak luas,” katanya.

Berhubung merapatkan jurang pembangunan antara kedua-dua negeri dengan Semenanjung, Chin berkata, sebahagian besar dana yang diperlukan untuk tujuan itu mesti datang daripada kerajaan persekutuan.

“Alternatifnya adalah mengembalikan lebih banyak wang minyak dan gas Petronas kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau merujuk rundingan sedang dijalankan antara Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bagi membenarkan syarikat milik Sarawak itu menjadi agregator gas tunggal negeri.

“Jika perjanjian itu berjaya (bagi Petros), Sabah juga akan memperoleh (hak serupa) nanti. Ini akan membawa masuk berbilion ringgit hasil bagi Kota Kinabalu dan Kuching,” katanya.

Walaupun Petronas mempunyai monopoli ke atas pengekstrakan minyak dan gas, Sarawak sedang berusaha mendapatkan kawalan lebih besar ke atas sumber asli negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.