HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Tokoh terkemuka yang ‘pergi’ pada 2024

-

Antara yang tersenarai termasuk dua bekas menteri, tokoh demokrasi, seorang pegawai polis, penyanyi dan rahib.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
(Dari kiri) T Ananda Krishnan, Abdul Taib Mahmud, Daim Zainuddin dan Raja Petra Kamarudin antara ahli perniagaan, ahli politik serta individu terkenal yang meninggal dunia tahun ini.

PETALING JAYA:
Sepanjang 12 bulan ini, Malaysia menyaksikan kehilangan ramai individu terkemuka yang membantu membentuk negara dengan cara tersendiri.

Sebelum 2024 melabuhkan tirainya, FMT mengimbas kembali kehidupan dan era mereka yang pernah berkhidmat serta melindungi negara, selain individu yang pernah menyumbang kepada pembangunannya, sama ada dari segi sosial atau ekonomi.

T Ananda Krishnan, 86

28 Nov

T Ananda Krishnan, yang disenaraikan Forbes pada April sebagai individu ketiga terkaya dalam negara, merupakan pengasas Maxis Bhd dan Astro Malaysia Holdings Bhd.

Alumni Harvard Business School itu turut membantu penubuhan Petronas, syarikat minyak negara.

Beliau menyokong pelbagai perjuangan, antaranya menjadi penganjur bersama Live Aid, konsert manfaat pelbagai lokasi bagi menghimpunkan dana untuk individu terkesan akibat kebuluran di Etiopia bersama Bob Geldof pada 1985.

Daim Zainuddin, 86

13 Nov

Daim Zainuddin berkhidmat sebagai menteri kewangan Malaysia dua kali, masing-masing ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.

Kali pertama memegang jawatan itu dari 1984 hingga 1991, beliau melaksanakan pelarasan struktur bagi mengukuhkan ekonomi negara. Beliau kembali ke jawatan itu buat kali kedua antara 1999 hingga 2001 untuk menangani cabaran ekonomi akibat krisis kewangan Asia.

Manjeet Singh Dhillon, 82

Free Malaysia Today
Manjeet Singh Dhillon.

28 Okt

Manjeet Singh Dhillon berkhidmat dengan Jabatan Pejabat Peguam Negara sehingga lewat 1970-an apabila beliau menjadi pengamal perundangan persendirian. Beliau menjadi presiden Badan Peguam dari 1991 hingga 1992.

Manjeet terlibat dalam beberapa kes berprofil tinggi. Beliau menjadi peguam bela bagi seorang daripada tertuduh dalam kes bunuh Sosilawati Lawiya, selain mewakili Abdul Razak Baginda dalam saman sivil RM100 juta yang difailkan keluarga Altantuya Shaariibuu.

Beliau juga pernah menjadi presiden Royal Lake Club.

Raja Petra Kamarudin, 74

9 Sept

Penulis blog, Raja Petra Kamarudin yang lebih dikenali RPK adalah individu di sebalik laman web kontroversi Malaysia Today. Beliau pernah ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 2001 dan 2008.

Raja Petra yang tinggal di Manchester selama beberapa tahun, meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah yang merebak kepada paru-paru dan hatinya.

Jay Jay, penyanyi Carefree, 67

4 Ogos

Jay Jay atau nama sebenarnya Fauzi Darus menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara pada 23 Mei lalu, selepas dimasukkan ke wad dua hari sebelumnya kerana serangan jantung.

Pelantun lagu “Rindu Bayangan” itu menjadi popular ketika menganggotai kumpulan Carefree pada 1979, sebelum bergerak solo pada 1984. Beliau pernah memenangi beberapa anugerah, termasuk Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1988.

Noor Farida Ariffin, 76

27 Jun

Noor Farida Ariffin, pengasas bersama kumpulan G25 bagi penjawat awam bersara, berkhidmat sebagai duta besar Malaysia ke Belanda dari 2000 hingga 2007, sebelum dilantik ketua pengarah Jabatan Penyelidikan, Triti dan Undang-undang Antarabangsa Wisma Putra.

Selepas bersara pada 2012, beliau menjadi pemegang amanah untuk Pertubuhan Pertolongan Wanita. Pada 2019, beliau dilantik pengerusi Dana Pembangunan Sumber Manusia.

Hanif Omar, 85

Free Malaysia Today
Haniff Omar.

20 April

Hanif Omar dilantik ketua polis negara (KPN) pada 8 Jun 1974 pada usia 35 tahun. Beliau memimpin pasukan polis sehingga persaraannya pada 15 Jan 1994.

Anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu dilantik ketua polis Melaka pada 7 Sept 1970 dan ketua polis Selangor pada 6 Dis 1971. Beliau menjadi timbalan KPN pada 1 Feb 1973.

Joseph Kurup, 79

Free Malaysia Today
Joseph Kurup.

17 April

Joseph Kurup yang juga bekas menteri persekutuan, merupakan pengasas bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) sebelum menubuhkan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) pada 1994.

Beliau dilantik timbalan ketua menteri Sabah dari 1986 hingga 1990 dan sekali lagi dari 1994 hingga 1999. Beliau dilantik menteri perpaduan nasional pada 2013 dan menyandang jawatan itu sehingga bersara dari politik pada 2018, menyerahkan kerusi Pensiangan kepada anaknya, Arthur yang kini timbalan menteri pertanian dan keterjaminan makanan.

Sister Enda Ryan, 95

7 April

Sister Enda Ryan yang dilahirkan sebagai Eileen Philomena Ryan pada 30 Dis 1928 di Ireland, merupakan pengasas sekolah rendah dan menengah Assunta. Beliau bersara sebagai guru besar selepas berkhidmat selama 31 tahun dalam bidang pendidikan.

Beliau turut memainkan peranan penting dalam membangunkan Ave Maria Clinic, yang kini dikenali Hospital Assunta.

Sister Enda yang menjadi warganegara Malaysia pada Oktober 1966, menerima pelbagai anugerah termasuk Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS), yang membawa gelaran “Datin Paduka”.

Aunty Bersih, 78

Free Malaysia Today
Annie Ooi.

26 Mac

Annie Ooi yang lebih dikenali Aunty Bersih, merupakan guru bahasa Inggeris bersara dari Pulau Pinang yang tidak pernah ketinggalan menyertai mana-mana perhimpunan.

Beliau pernah berdepan gas pemedih mata dan meriam air ketika perarakan demokrasi Malaysia pada 9 Julai 2011. Pengarah Eksekutif Bersih, Ooi Kok Hing menyifatkannya simbol perjuangan rakyat biasa demi demokrasi di Malaysia.

Abdul Taib Mahmud, 87

21 Feb

Abdul Taib Mahmud menerajui kerajaan Sarawak selama 33 tahun dari 1981 hingga 2014, menjadikannya pemimpin negeri paling lama berkhidmat di Malaysia.

Beliau merupakan Ahli Parlimen kedua lama berkhidmat, dengan mewakili Kota Samarahan selama 38 tahun (1970-2008), dan menjadi gabenor Sarawak dari 2014 hingga lewat Januari lalu.

Taib memainkan peranan penting dalam membangunkan negeri itu menerusi pelbagai projek infrastruktur, malah digelar Premier Sarawak, Abang Johari Openg sebagai “bapa Sarawak moden”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.