HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Bersatu ‘lemah’, tiada pilihan selain turun himpunan Najib, kata penganalisis

-

Dua penganalisis menolak konon pimpinan Bersatu menyertai himpunan pada 6 Jan atas semangat ‘perdamaian nasional’.

8
Shares
Total Views: 1,053
BERSATU
Penyertaan pimpinan Bersatu dalam himpunan anjuran PAS yang menyokong bekas perdana menteri Najib Razak bertujuan melemahkan kerajaan perpaduan, kata seorang penganalisis.

PETALING JAYA:
Bersatu tidak mempunyai pilihan selain membenarkan beberapa pimpinan dan ahli menghadiri himpunan solidariti Najib Razak anjuran PAS dijadual Isnin ini, kata penganalisis politik.

James Chin dari University of Tasmania berkata, Bersatu dan Presiden Muhyiddin Yassin semakin hilang sokongan berbanding sekutunya yang lebih dominan, PAS.

Katanya, Bersatu perlu melakukan apa sahaja untuk kekal relevan kepada masyarakat.

James Chin
James Chin.

“Meskipun mereka tidak menyukainya, mereka tidak mempunyai pilihan kerana PAS bersedia menghadiri himpunan berkenaan. Bersatu dan Muhyiddin semakin hilang sokongan, jadi mereka perlukan apa jua publisiti,” katanya kepada FMT.

Walaupun Muhyiddin mungkin kurang berkenan apabila parti-parti komponen Perikatan Nasional dan ahli partinya sendiri mahu berhimpun, Chin percaya pengerusi PN itu tiada banyak pilihan.

“Apa boleh Muhyiddin buat jika PAS mahu menyokong Najib? Muhyiddin tidak ada kuasa, partinya juga kecil berbanding PAS.

“Beliau tidak boleh beritahu PAS supaya berhenti menyokong (Najib). Hakikatnya, walaupun beliau melakukan demikian, PAS boleh abaikan sahaja.”

Himpunan itu diadakan pada hari Mahkamah Rayuan mendengar permohonan Najib untuk mengemukakan keterangan baharu bagi menyokong rayuan agar diletakkan bawah tahanan rumah, yang dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong terdahulu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Najib mendakwa, Agong terdahulu mengeluarkan perintah tambahan membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara di rumah. Beliau mendakwa perkara ini tidak diumumkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, pada 2 Feb.

Sabtu lalu, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata pemimpin parti dan ahli bebas menyertai himpunan di Istana Kehakiman.

Menurutnya, Bersatu berpegang pada semangat ‘perdamaian nasional’ meskipun ketika itu parti tersebut belum buat perbincangan rasmi berhubung himpunan itu.

Ketua Wanita, Mas Ermieyati Samsudin, berkata beliau dan beberapa lagi pimpinan Bersatu berkemungkinan turun pada himpunan itu.

Muhyiddin adalah pengasas bersama Bersatu, selepas dipecat sebagai timbalan presiden Umno pada 2016, susulan kritikan keras terhadap presiden dan perdana menteri ketika itu, Najib, terutama berkait skandal 1MDB.

Azmil Tayeb
Azmil Tayeb.

Chin dan Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia menolak hujah ‘perdamaian nasional’, yang didakwa sekadar retorik. Mereka berpandangan menyertai himpunan itu mungkin tidak mampu memperbaiki hubungan antara Umno, PAS, dan Bersatu.

Azmil berkata, pimpinan PN cuba menyemai perbalahan dalam kerajaan perpaduan dengan mempergunakan rayuan tahanan rumah Najib.

Beliau juga percaya objektif sebenar Muhyiddin untuk melemahkan kerajaan perpaduan.

“Tetapi, saya ragu Najib boleh satukan semua parti Melayu. Beliau dipergunakan untuk capai satu matlamat, iaitu gugat kestabilan kerajaan sekarang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.