Shikata menekankan peluang semakin meningkat untuk perdagangan dan pelaburan dua hala seiring kerangka ekonomi Madani negara.
“Sebelum saya meninggalkan Tokyo ke Malaysia, saya menemui beberapa pemimpin perniagaan Jepun dan mereka menyuarakan minat baharu untuk melabur di Malaysia,” katanya dalam temu bual dengan FMT.
“Ini termasuk pelaburan berkaitan transformasi hijau…hidrogen hijau, biojisim, pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), antara lain.”
Beliau berkata, minat baharu itu turut didorong peranan semakin meningkat Malaysia sebagai hab pusat data di Asia.
“Akan ada beberapa peluang perniagaan dan pelaburan baharu untuk syarikat Jepun tampil dengan pelaburan mampan,” katanya sambil menambah manfaatnya akan diperluaskan ke kawasan bandar dan luar bandar.
Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba dijangka tiba di Malaysia pada Jumaat untuk lawatan rasmi dua hala pertamanya, sejak beliau memegang jawatan itu Oktober lalu.
Walaupun Ishiba sudah menghadiri pelbagai persidangan antarabangsa, Malaysia akan menjadi negara pertama mengadakan dialog dua hala secara langsung dengannya.
Shikata berkata, Ishiba dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dijangka membincangkan pelbagai isu, termasuk kerjasama politik dan keselamatan, perkongsian perniagaan, pertukaran akademik serta budaya.
“Berdasarkan hubungan kami yang erat, kami berhasrat meningkatkan perkongsian untuk masa depan.”
Pendekatan timbal balik
Shikita yang tiba di Malaysia November lalu berkata, beliau membayangkan peralihan daripada Dasar Pandang ke Timur selama beberapa dekad kepada pendekatan timbal balik lebih baik.
Beliau kagum dengan cara belia Malaysia menerima budaya Jepun, daripada masakan, muzik kepada anime dan bahasa.
“Sepatutnya lebih ramai anak muda Jepun datang (melawat) Malaysia, mungkin juga untuk belajar di universiti Malaysia.
“Mudah-mudahan dasar Pandang ke Timur ini akan menjadi ‘dasar pandang satu sama lain’ dan membina masa depan baharu untuk rakyat kita.”
Sejak 1982, kira-kira 28,000 pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di Jepun.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram