HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Asean bincang lantik utusan tetap khas tangani krisis Myanmar

-

Ketua Setiausaha KLN Amran Zin berkata cadangan itu diketengahkan oleh beberapa negara anggota.

4
Shares
Total Views: 173
Foreign ministry secretary general Amran Zin
Ketua Setiausaha KLN Amran Zin kata Asean bertanggungjawab mencari jalan bagi menangani krisis pelbagai aspek yang melanda Myanmar. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA:
Asean sedang membincangkan kemungkinan melantik utusan khas tetap bagi menangani krisis di Myanmar, menurut Kementerian Luar Negeri.

“Beberapa negara anggota Asean membangkitkan cadangan melantik utusan khas tetap,” kata Ketua Setiausaha Amran Zin pada sidang media.

Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi Asean pada 1 Jan lalu.

Amran berkata Asean memainkan peranan penting dalam memudahkan dialog dan kerjasama dalam kalangan anggota, termasuk Myanmar.

“Malaysia selaku pengerusi memainkan peranan penting dalam mencari penyelesaian bagi menangani krisis di Myanmar secara berkesan, dengan kerjasama negara-negara anggota.

“Malaysia mahu mengembangkan usaha ini di luar Asean dengan melibatkan rakan-rakan kongsi Asean yang menyokong usaha memperbaiki keadaan di lapangan.”

Amran menegaskan komitmen Asean pada suatu penyelesaian yang diterajui Myanmar, sejajar konsensi lima perkara yang diterima pakai Asean.

Konsensus itu menyeru kepada penggunaan pelbagai langkah untuk menangani krisis pelbagai aspek yang dihadapi Myanmar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk keperluan untuk mengadakan suatu dialog ke arah penyelesaian yang aman, bantuan kemanusiaan, dan menyediakan sokongan untuk keamanan dan kestabilan.

“Myanmar masih menjadi keutamaan Asean maka kita bertanggungjawab mencari jalan,” kata Amran.

Para menteri luar negara-negara anggota Asean akan berhimpun di Langkawi pada hujung minggu ini bersempena pemukiman tahunan para menteri luar Asean, di mana mereka akan tangani hal geopolitik.

Keadaan di Myanmar memburuk selepas rampasan kuasa oleh tentera negara itu empat tahun lalu, yang menggulingkan pentadbiran Aung San Suu Kyi yang dipilih secara demokratik dan Liga Kebangsaan untuk Demokrasi.

Rampasan kuasa itu mencetuskan tunjuk perasaan meluas dan pergolakan awam di serata Myanmar, membawa kepada tindakan keras oleh pihak junta. Ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal dalam keganasan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.