
Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF), S Shashi Kumar, berkata laporan difailkan pada Ogos tahun lalu menyatakan video-video berkenaan menyentuh unsur kaum, agama, dan raja (3R).
Katanya, berdasarkan surat menyurat dengan polis, kes dirujuk kepada timbalan pendakwa raya pada 9 Jan.
Menurut surat dilihat FMT, pejabat timbalan pendakwa raya menasihatkan kes tidak diteruskan atas alasan tiada jenayah dilakukan.
Shashi berkata pihaknya ‘tidak boleh terima sama sekali’ dakwaan tiada sebarang kesalahan jenayah telah berlaku.
“Maklum balas ini mendedahkan terang-terangan sikap acuh tak acuh dan pilih kasih yang merunsingkan dalam perkara yang melibatkan orang bukan Islam,” katanya dalam kenyataan.
“Kami telah kemuka keterangan jelas termasuk tiga video bagi menyokong dakwaan kami terhadap pelaku. Pembuktian tidak dapat dinafikan – apa lagi yang diinginkan?” katanya.
Beliau menambah pengkelasan ‘NFA’ menghantar mesej bahawa tindakan berunsur kebencian boleh terlepas tanpa dihukum.
Pada 25 Ogos tahun lalu, Pemuda MIC dan sejumlah NGO menggesa polis menyiasat tiga video TikTok, yang dikatakan mendakwa bangsa India tidak wujud.
Makkal Osai melaporkan video berkenaan dikatakan mendakwa ‘tidak ada bangsa India, hanya kaum Tamil’. Video itu turut didakwa menggelar golongan ibu dan penganut Hindu dengan kata-kata kesat, dan didakwa mengandungi kenyataan berbaur ancaman terhadap Perdana Menteri India Narendra Modi.
Laporan difailkan oleh seorang individu, M Sivaneswary, di IPD Sentul.
GHRF, Pemuda MIC, Malaysia Hindu Sangam, Kebajikan Masyarakat Sungai Buloh, One Malaysia Indian Association, dan Persatuan Kebajikan India Otrumai Padai, turut hadir menyokong tindakan itu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram