![ex civil servants](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fmedia.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2025%2F01%2Fa54af3eb-ex-civil-servants-with-their-lawyer-shukor-ahmad-and-baljit-singh-sidhu-ws-160125.webp&w=3840&q=75)
Peguam Shukor Ahmad berkata, kerajaan telah memfailkan notis rayuan di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini semalam.
“Mereka telah menyampaikan salinan notis itu untuk perhatian kami,” katanya kepada FMT.
Pada 16 Jan, Hakim Amarjeet Singh berkata, pekeliling perkhidmatan dikeluarkan pada 2016 memberi kesan terhadap semakan gaji penjawat awam.
Berikutan itu, katanya, pesara kerajaan berhak mendapat pencen sepadan dengan gaji yang diselaraskan, mengikut Akta Penyelarasan Pencen 1980.
“Mengambil kira keputusan Mahkamah Persekutuan (yang menolak rayuan kerajaan), pencen terbelakang mesti dibayar mulai Januari 2022 (tarikh keputusan Mahkamah Rayuan) sehingga semakan gaji seterusnya,” katanya.
Amarjeet memerintahkan ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membuat bayaran pencen dalam tempoh tiga bulan mulai 16 Jan.
Beliau juga menolak permohonan lisan bagi penangguhan oleh peguam persekutuan, M Kogilambigai dan mengarahkannya memfailkan permohonan formal.
Shukor, yang tampil bersama Baljit Singh Sidhu berkata, kerajaan masih belum memfailkan permohonan formal tersebut.
“Saya percaya permohonan itu akan dibuat selepas ini kerana mereka telah memfailkan notis rayuan,” katanya.
Pada 29 Feb 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas penjawat awam, Aminah Ahmad, dan pemohon bersamanya memulakan prosiding semakan kehakiman selepas peguam negara tidak mengemukakan bantahan.
Permohonan itu menamakan kerajaan dan ketua pengarah JPA sebagai responden.
Permohonan itu bagi memaksa responden melaksanakan penyelarasan pencen mengikut formula ditetapkan dalam Seksyen 3 dan 6 Akta Penyelarasan Pencen, sebelum undang-undang itu dipinda pada 2013.
Bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji semasa penjawat awam dalam gred sama.
Pindaan pada 2013 memperkenalkan kenaikan tahunan kadar rata sebanyak 2%.
Aminah kalah dalam saman permulaan di Mahkamah Tinggi pada 2020. Namun, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu pada 2022, memutuskan pindaan Akta Penyelarasan Pencen pada 2013 batal dan tidak sah.
Pada 27 Jun 2023, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram