HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Pecah amanah lebih RM550,000, pengarah bergelar Datuk mengaku tak salah

-

Pengarah berusia 52 tahun itu berdepan lima pertuduhan melakukan transaksi dalam beberapa akaun bank termasuk akaun sendiri.

0
Shares
Total Views: 516
Free Malaysia Today
Lee Hyen Sip @ Simon didakwa curang melakukan pecah amanah wang milik syarikat antara 2020 hingga 2024. (Gambar Bernama)

TAIPING:
Pengarah syarikat pinjaman wang berlesen didakwa di Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan melakukan pecah amanah berjumlah RM551,130, antara 2020 hingga 2024.

Lee Hyen Sip @ Simon, 52, mengaku tidak bersalah atas kelima-lima pertuduhan itu di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, antara November 2020 sehingga September 2024, lelaki itu didakwa sebagai ejen iaitu pengarah Syarikat Pasti Tunai Jaya Sdn Bhd diamanahkan penguasaan harta iaitu wang syarikat, dengan curangnya melakukan pecah amanah wang milik syarikat lebih RM550,000 menerusi cek syarikat, melibatkan transaksi dalam beberapa akaun bank termasuk akaunnya sendiri.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Kamunting dalam daerah Larut, Matang, dan Selama dekat sini pada 12 Nov 2020, 7 Mac serta 26 Ogos 2022, 27 Sept 2023, dan 24 Sept 2024.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi setiap pertuduhan asal, tertuduh juga didakwa dengan pertuduhan pilihan iaitu pada tarikh dan lokasi sama, lelaki itu dituduh dengan curangnya menyalahgunakan harta iaitu sejumlah wang milik syarikat Pasti Tunai Jaya Sdn Bhd berjumlah lebih RM550,000 menerusi cek syarikat melibatkan transaksi ke dalam beberapa akaun bank sama termasuk akaunnya sendiri.

Semua pertuduhan pilihan itu mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Peguam Rodzim Zaimy Abdul Hamid dan Jeyakumar Palakrishnar yang mewakili tertuduh tidak membantah cadangan itu. Turut hadir peguam pemerhati bagi pengadu kes Privesh Paul Singh.

Hakim kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, selain menetapkan 17 Feb sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Pada 21 Jan, media melaporkan seorang lelaki dengan gelaran Datuk direman di Mahkamah Majistret atas dakwaan melakukan pecah amanah.

Pemangku Ketua Polis Perak Zulkafli Sariaat memaklumkan suspek merupakan pengarah sebuah syarikat pinjaman wang berlesen, menurut laporan media itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.