HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Bukan sebab undi tetapi undang-undang, bekas pemimpin MCA jawab Mujahid

-

Ti Lian Ker berkata timbalan presiden Amanah itu membuat tuduhan salah berkait isu pengharaman penjualan arak.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Ti Lian Ker memberitahu Mujahid Yusof Rawa bahawa bantahan MCA terhadap cadangan pengharaman penjualan arak dan minuman alkohol di kawasan majoriti Melayu adalah berkisar pada undang-undang dan hak serta kebebasan yang dijamin perlembagaan.

PETALING JAYA:
Bekas naib presiden MCA, Ti Lian Ker, bingung mengapa Amanah menganggap bantahan partinya terhadap cadangan larangan penjualan arak di kawasan majoriti Melayu sebagai usaha menarik sokongan pengundi Cina.

Ti menegaskan bahawa kritikannya terhadap cadangan itu berkisar pada undang-undang dan hak serta kebebasan yang dijamin perlembagaan.

Bekas timbalan menteri perpaduan itu, yang sebelum ini menyatakan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak boleh sewenang-wenangnya mengharamkan penjualan arak, berkata Timbalan Presiden Amanah, Mujahid Yusof Rawa membuat tuduhan salah.

“Ia tidak munasabah. Mengapa Amanah seolah-olah berpura-pura tidak melihat pelanggaran kedaulatan undang-undang dan pencabulan hak asasi yang dijamin oleh perlembagaan serta undang-undang?

“Adakah Amanah mempertahankan dan menutup kepada kemungkinan berlakunya pelanggaran berterusan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang,” katanya kepada FMT.

Katanya, sebagai parti menyokong kerajaan, MCA tidak dihalang untuk membangkitkan isu yang melanggar undang-undang, dan menjadi tanggungjawab untuk memastikan pemimpin kerajaan, pegawai serta pihak berkuasa melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Kami tidak boleh menjadi pihak yang menyalahguna dan memilih untuk meminggirkan hak perlembagaan dan kebebasan rakyat hanya kerana menyokong kerajaan. Lebih teruk jika mereka sebelum ini berjanji untuk menegakkan undang-undang tetapi gagal berbuat demikian,” katanya.

Ti menjawab kenyataan Mujahid pada Khamis lalu yang menempelak MCA Perak yang cuba ‘menunggang’ isu pengharaman dan menjadi hero dalam isu jualan arak selepas Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) merancang memperluas larangan ditetapkan di Manjoi ke kawasan lain.

Mujahid juga minta supaya MCA tidak perlu mempolitikkan isu berkenaan semata-mata untuk meraih sokongan masyarakat bukan Melayu dalam berdepan pengaruh DAP.

Ti berkata adalah ironi apabila Mujahid seolah-olah menentang kedaulatan undang-undang, sedangkan ungkapan itu sering antara yang sering dipetik DAP.

“Perlukah saya mengajar Mujahid, seorang senator, mengenai tugas dan tanggungjawabnya sebagai penggubal undang-undang untuk menghormati serta menegakkan kedaulatan undang-undang dan semangat perlembagaan?” katanya.

Menjawab tuduhan Mujahid bahawa MCA mahu memancing undi dengan mempolitikkan isu itu, Ti berkata perkara yang sama juga berlaku pada Amanah.

Katanya, Amanah, sebagai parti serpihan PAS juga bersaing untuk mendapatkan sokongan daripada orang Melayu.

“Dalam kes ini, Amanah ada motif yang lebih besar untuk membantah MCA dan menyokong cadangan itu,” katanya.

Mengakui ketagihan alkohol adalah satu masalah sosial dalam semua masyarakat termasuk di negara di mana penjualan arak diharamkan, Ti berkata MCA tidak mahu merampas hak mana-mana individu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.