HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Selepas demonstrasi Pesawah, Mat Sabu janji turun padang selesai isu harga padi

-

Menteri Mohamad Sabu berkata beliau akan bertemu dengan agensi berkaitan untuk selesai masalah terbabit.

0
Shares
Total Views: 1
protest petani pesawah
Sekumpulan ahli Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia berhimpun secara aman di hadapan Wisma Tani, Putrajaya.

PUTRAJAYA:
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu memberikan jaminan akan menggerakkan inisiatif untuk menguruskan tuntutan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) antara berkait harga lantai belian padi.

Mohamad berkata beliau akan mengadakan sesi libat urus dengan agensi berkaitan seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

“Saya juga akan mengadakan libat urus berterusan dengan penanam padi,” katanya menerusi pesanan di aplikasi WhatsApp kepada media, hari ini.

Terdahulu, sekumpulan ahli Pesawah berhimpun secara aman di depan Wisma Tani bagi menuntut harga lantai belian padi dinaikkan kepada RM1,800 per tan metrik berbanding RM1,300 kini.

Mereka berkumpul seawal 8 pagi di hadapan ibu pejabat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan membawa sepanduk sambil melaungkan ‘hidup pesawah, naikkan harga padi’.

Sepuluh daripada wakilnya ke bangunan Perdana Putra untuk menyerahkan memorandum ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang sepatutnya menjadi lokasi asal perhimpunan terbabit.

Ketika membentangkan Belanjawan 2024, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan mengumumkan kenaikan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per tan daripada RM1,200.

Sementara itu, Pengerusi Pesawah Abdul Rashid Yob mendakwa PMO berjanji untuk campur tangan bagi menyelesaikan tuntutan terbabit yang dinyatakan Chan Ming Kai, setiausaha politik perdana menteri semasa penyerahan memorandum.

“Wakil PM kata mereka bersetuju dengan dua tuntutan kita dan akan adakan satu perbincangan.

“Kata putus akan diberikan secepat mungkin,” katanya.

Perhimpunan itu diadakan di Wisma Tani susulan gesaan polis kerana ada lawatan negara oleh Presiden Indonesia Prabowo Subianto di Bangunan Perdana Putra.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut menasihatkan ahli Pesawah yang hendak berhimpun di Putrajaya hari ini bagi menyerahkan memorandum supaya menangguhkannya ke suatu masa yang sesuai.

Beliau menegaskan kerajaan tidak menghalang mereka untuk berhimpun sebaliknya menjelaskan ia tidak sesuai dilakukan ketika lawatan Prabowo.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.