
Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, pasukan Polis Marin Wilayah Satu Batu Uban menahan dua buah bot fiber gentian kaca, yang berada dalam keadaan mencurigakan, pada 3.10 petang untuk diperiksa.
Kedua-dua bot yang tidak mempunyai nombor pendaftaran itu dari arah Pelabuhan Pulau Pinang menuju ke Jambatan Pulau Pinang, tambahnya.
“Hasil pemeriksaan, (polis marin) menahan dua lelaki tempatan dan dua lelaki Indonesia, kesemuanya berusia 22 hingga 57 tahun,” katanya pada sidang media di Markas Polis Marin Wilayah Satu Batu Uban hari ini, lapor Bernama.
Selain itu, polis turut menemukan lima pucuk pistol – dua jenama Sig Sauer bersama tiga kelopak, dua jenama Glock (dua kelopak) dan Smith and Wesson bersama satu kelopak – serta selaras senapang M4, 600 butir peluru M4, 200 butir peluru 9mm dan sebutir peluru jenis S&B yang terdapat dalam bot dinaiki dua lelaki Indonesia tersebut.
Hamzah memaklumkan, polis turut merampas pelbagai lagi barangan dalam bot itu, termasuk telefon satelit, telefon bimbit, beg, peralatan GPS, wang tunai RM4,030 dan dua passport milik dua warga asing tersebut.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, dua lelaki warga asing itu masuk ke negara ini melalui laluan sah, sebelum ke Thailand melalui jalan laut untuk mengambil semua senjata api tersebut.
Kesemua senjata api itu kemudiannya dibawa masuk ke negara ini dan dijual kepada pembeli di sini, dipercayai untuk kegiatan jenayah serta ke arah jenayah keganasan, tambahnya.
Beliau berkata, empat individu yang bekerja sebagai nelayan itu merupakan ahli sindiket penyeludupan senjata api antarabangsa, dan dipercayai kali pertama menjalankan kegiatan jual beli senjata api di negara ini.
“Mereka dipercayai menyewa kedua-dua bot tanpa nombor pendaftaran itu di sini. Kami masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan rangkaian penyeludupan serta mereka yang terlibat dalam urusan jual beli senjata api tersebut,” katanya.
Hamzah berkata, kesemua keempat lelaki itu direman selama tujuh hari sehingga 3 Feb bagi membantu siasatan.
Kes disiasat bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37).
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram