![Fahmi Fadzil](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fmedia.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2025%2F01%2Fbac17619-12_fahmi_fadzil_mcmc_moganraj_fmt_28012025-copy-2.webp&w=3840&q=75)
Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bertindak sebagai agensi teknikal untuk membantu polis dalam siasatan mereka, berdasarkan arahan Jabatan Peguam Negara.
“Saya dimaklumkan bahawa Malaysiakini adalah saksi dalam kes ini, bukan sasaran siasatan.
“Saya percaya komputer riba yang diambil daripada Malaysiakini akan dikembalikan selepas siasatan selesai,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran ‘chatbot Artificial Intelligence Fact-Check Assistant’ (AIFA) bagi menangani berita palsu.
Fahmi diminta mengulas tindakan polis menyoal siasat Pengarang Eksekutif Malaysiakini, RK Anand, serta merampas komputer ribanya selepas pegawai khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, Suraya Yaacob membuat laporan berhubung satu artikel memetik kenyataan Khairy.
Semalam, FMT melaporkan seorang ahli akademik berkata tindakan polis merampas komputer riba dan meminta akses kepada sistem ‘backend’ Malaysiakini mungkin melampaui bidang kuasa mereka.
Benjamin Loh dari Universiti Taylor’s menyifatkan tindakan polis sebagai satu ‘salah kuasa yang jelas’ memandangkan kes disiasat bawah undang-undang fitnah jenayah.
Gerakan Media Merdeka (Geramm), sebuah kumpulan aktivis yang mewakili wartawan, turut mengecam tindakan pihak berkuasa yang disifatkan sebagai ‘tidak boleh diterima’.
Jurucakap Geramm, Radzi Razak, menggesa polis dan SKMM menghentikan tindakan yang dianggap sebagai ‘tindakan keras keterlaluan’.
Dalam audio siarnya, Khairy mendakwa titah tambahan berkaitan bekas perdana menteri Najib Razak menyebabkan krisis kepercayaan dalam Umno dan memberi gambaran Azalina terlibat menyembunyikannya.
Susulan laporan polis dibuat Suraya, pihak berkuasa melancarkan siasatan bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyalahgunaan kemudahan rangkaian.
Dalam arahan supaya Malaysiakini memberikan akses kepada sistem ‘backend’, SKMM memberi amaran bahawa kegagalan mematuhinya boleh menjadi satu kesalahan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram