![Free Malaysia Today](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fmedia.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2025%2F01%2F3d533367-muhyiddin-yassin-fmt-290125.webp&w=3840&q=75)
Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata setiap ucapan disuarakan perlu mengikut fakta bagi mengelakkan isu berbangkit terutama dalam konteks Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk.
Bagaimanapun, katanya PN tidak akan mengenakan larang bersuara kepada ahli dan pemimpin komponen itu yang terdiri dari Bersatu, PAS, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
“Tiada gag order (larangan bersuara) cuma apabila bercakap mereka perlu berdasarkan fakta.
“Saya tidak ingin menyebelahi sesiapa tetapi untuk mengelakkan sebarang masalah terutama pada sambutan Tahun Baharu Cina, isu perpaduan dan persefahaman,” katanya ditemui pada rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Gerakan di sini.
Beliau mengulas sama ada PN akan mengeluarkan perintah larangan bersuara bagi mengelakkan ada pemimpinnya bercakap tanpa fakta, merujuk kepada insiden membabitkan Ketua Pembangkang DUN Perak Razman Zakaria dari PAS.
Pesuruhjaya PAS Perak itu mendakwa Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mempunyai kaitan dengan keluarga Yeoh konglomerat YTL Corporation Bhd, yang dinafikan pemimpin DAP berkenaan.
Isnin lalu, Razman yang juga Adun Gunong Semanggol mengakui kesilapan dan memohon maaf kepada Yeoh dan pihak terkesan dengan ucapannya terbabit.
Beliau juga menyuarakan rasa kecewa dengan liputan media yang didakwanya hanya mengambil kira 10 saat daripada 30 minit daripada ceramahnya.
Semalam, Yeoh berkata pihaknya akan menyerahkan notis tuntutan kepada Razman di atas dakwaan Ahli Parlimen Segambut itu ‘anak orang kaya’ dan ‘anak perempuan YTL’.
Disember lalu, Razman turut memohon maaf kepada Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming berhubung fitnah mengaitkan menteri itu dengan insiden mengibar bendera China di Teluk Intan, dua bulan sebelumnya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad daripada PAS yang terpaksa membayar keseluruhan RM830,000 kerana memfitnah veteran DAP Lim Kit Siang, bekas menteri kewangan Lim Guan Eng dan wakil Seputeh Teresa Kok.
Beliau bersalah atas tuduhan memfitnah kerana mengaitkan ketiga-tiganya dengan pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng dalam ceramah pilihan raya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram