
Bagaimanapun, kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini mencetuskan kebimbangan pengguna apabila mendedahkan bahawa sembilan daripada 243 sampel limau mandarin yang diuji – atau 3.7% – terpaksa dilupuskan kerana mengandungi tahap racun perosak yang tinggi.
Bercakap kepada FMT, dua ahli akademik dari Universiti Sains Malaysia (USM) memberi jaminan bahawa limau mandarin secara umumnya masih selamat untuk dimakan.

Profesor Sains Biologi USM, K Sudesh, berkata mencuci buah itu dengan bersih di bawah air mengalir serta mencuci tangan selepas mengupasnya boleh mengurangkan sebarang risiko.
“Kulit limau yang tebal bertindak sebagai dinding perlindungan, jadi isi buah itu sendiri tidak terlalu terjejas,” katanya.
Meskipun pihak berkuasa kesihatan memantau buah-buahan di 70 pintu masuk negara, Sudesh menekankan kepentingan ‘pemeriksaan Tahap 5’, yang melibatkan tahan dan uji penghantaran sebelum dibenarkan untuk dijual, terutama bagi pengimport yang mempunyai rekod ketidakpatuhan.
Seorang lagi ahli akademik USM, Chew Bee Lynn, berkata racun perosak dan racun kulat memainkan peranan penting dalam mengekalkan kualiti buah kerana ia membantu mengelakkan kerosakan semasa penghantaran.
Beliau berkata kebanyakan penyakit yang berpunca daripada buah-buahan bukan disebabkan oleh racun perosak, sebaliknya oleh bakteria atau kulat daripada buah yang telah rosak.
Namun, sebagai langkah berjaga-jaga, katanya, pengguna perlu memeriksa dengan teliti sebelum membeli untuk mengelakkan membeli buah yang busuk.
“Racun perosak dan racun kulat sepatutnya selamat jika digunakan pada kadar yang betul. Namun, perlu ada peraturan lebih ketat terhadap pembekal yang melebihi had ditetapkan,” kata pensyarah bioteknologi tumbuhan itu.
Katanya, membasuh buah-buahan dengan air mengalir, sabun organik atau soda penaik boleh membantu mengurangkan residu racun perosak dan racun kulat.
Chew juga mencadangkan supaya jabatan kastam meningkatkan pemeriksaan terhadap buah-buahan import, terutama ketika musim perayaan dan musim buah.
Beliau berkata tindakan lebih tegas perlu dikenakan terhadap pembekal yang melanggar peraturan, termasuk menarik balik lesen mereka jika berulang kali gagal mematuhi piawaian keselamatan.
“Kerajaan juga patut mempertimbangkan untuk mengharamkan pembekal dari luar negara yang menghantar buah dengan tahap racun perosak tidak selamat serta membatalkan lesen mereka,” katanya.
“Tindakan ini akan memberi mesej tegas dan memastikan pengguna dilindungi.”
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram