HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Meriahnya Uncle Mike, ‘3 anak’ sambut Tahun Baharu Cina

-

Bagi Michael Tong dan tiga beradik Melayu yatim piatu yang dibesarkannya, sambutan Tahun Baharu Cina dan hari raya adalah masa untuk bersama keluarga.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
(Berdiri dari kiri) Abdul Rahman, Rasyid dan Rafie Ahmad Fauzi. Michael Tong meriba anak Rafie, Rayyan. (Muhammad Rabbani Jamian @ FMT Lifestyle)

KUALA LUMPUR:
Tahun Baharu Cina adalah waktu menikmati hidangan mewah dan berkumpul bersama keluarga. Bagi Michael Tong dan tiga beradik yatim piatu berketurunan Melayu yang dibesarkannya seperti anak sendiri, tradisi itu tidak berbeza.

Dalam temu bual bersama FMT Lifestyle, Tong dan adik-beradik Rafie, Rasyid serta Abdul Rahman Ahmad Fauzi berkongsi pengalaman meraikan Tahun Baharu Cina dan kisah unik keluarga mereka. Meskipun tiada pertalian darah, ikatan antara mereka jelas kukuh.

“Pada hari pertama Tahun Baharu Cina, kami akan pulang ke rumah ibu saya dan menghabiskan masa di sana. Rakan serta saudara-mara akan berkunjung,” kata Tong.

Makan malam bersama keluarga pada malam Tahun Baharu Cina diadakan di restoran menyajikan makanan halal. Bagi Rafie, abang sulung kepada tiga beradik itu, makan malam adalah detik yang paling dinantikan, terutama tradisi menggaul ‘yee sang’.

“Walaupun saya sudah berkahwin, ‘Popo’ masih memberikan saya angpau,” kata pemuda berusia 29 tahun, merujuk kepada ibu Tong, Oh Siew Eng.

“‘Popo’ sangat mengambil berat tentang kami,” tambah Rasyid, 28 tahun.

Bagi Abdul Rahman pula meluangkan masa bersama keluarga besar mereka sangat menyeronokkan. “Bahagian paling seronok adalah angpau!” kata pemuda berusia 24 tahun itu berseloroh.

Free Malaysia Today
Sehingga hari ini, Tong masih memberi tiga beradik itu angpau untuk Tahun Baharu Cina dan duit raya ketika Aidilfitri. (Muhammad Rabbani Jamian @ FMT Lifestyle)

Mengimbas kisah mereka, Rafie berkata dia pernah ‘berputus asa dalam hidup’ selepas kehilangan ibu bapa, sehinggalah Tong mengunjungi rumah anak yatim tempat dia berlindung di Gombak lebih 16 tahun lalu.

“Tanpa keluarga, hidup terasa kosong. Tiada sesiapa untuk menyokong dan membimbing kita,” katanya.

Tong yang kini berusia 55 tahun masih ingat bagaimana kali pertama dia bertemu Rafie di rumah anak yatim, melihat budak itu hanya duduk seorang diri sedangkan rakan yang lain bermain.

“Ia memberi kesan pada saya, seperti dia sedang berdepan sesuatu yang berat, kita sebagai orang dewasa perlu ambil peduli,” katanya.

“Seperti sudah ditakdirkan oleh tuhan kerana walaupun saya datang bersama rakan-rakan, hanya saya yang perasan keadaannya (Rafie),” tambah Tong, yang memiliki sebuah syarikat pengurusan acara.

Selepas mengetahui Rafie menghadapi masalah dalam pelajaran, Tong mengatur kelas tuisyen untuknya, malah sanggup menghantar remaja itu ke kelas dan sekolah.

Kemudian, dia mendapat tahu Rafie terpisah daripada adik-adiknya, yang ditempatkan di sebuah rumah anak yatim di Klang. Tong membawa Rafie melawat mereka – sebelum akhirnya mengambil ketiga-tiga mereka tinggal bersamanya.

“Daripada hidup sebagai orang bujang, tiba-tiba saya perlu memainkan peranan sebagai seorang ayah dan ibu,” kata Tong. Tetapi mengapa dia melakukannya?

Free Malaysia Today
Tong akan menjadikan sambutan hari raya kekal meriah dan diingati seperti belajar memasak rendang dan ketupat. (Gambar Michael Tong)

“Saya berasal dari keluarga yang sangat miskin. Dapat makan ayam pun sudah dianggap istimewa. Jika ada ikan, saya akan berkongsi dengan adik-beradik yang lain. Orang lain ada televisyen di rumah, tetapi kami tiada.

“Itu membuatkan saya bertekad untuk memperbaiki kehidupan, tetapi tidak melupakan orang miskin juga perlu dibantu,” katanya yang sering melakukan kerja amal di rumah orang tua dan rumah anak yatim.

Bagi menyesuaikan diri dengan kehidupan bersama tiga beradik itu, yang memanggilnya ‘Uncle Mike’, Tong membuat perubahan besar dalam hidupnya. Dia belajar memasak makanan halal dan ketika Ramadan, menyediakan juadah sahur pada waktu subuh. Malah, dia turut berpuasa bersama mereka.

Dia juga memastikan tiga beradik itu kekal berpegang teguh pada ajaran Islam dan sering mengingatkan mereka untuk menunaikan solat. Dia juga menjadikan sambutan Aidilfitri lebih bermakna dengan memasak rendang dan ketupat.

Kebiasaannya, mereka akan menghabiskan hari pertama raya di rumah rakan Muslim, tradisi yang masih diteruskan sehingga hari ini.

Free Malaysia Today
Tong menerima anugerah Maulidur Rasul tahun lalu atas jasanya membesarkan tiga beradik itu. (Muhammad Rabbani Jamian @ FMT Lifestyle)

Hari ini, Rafie dan Rasyid sudah berkahwin, tetapi Tong tetap memberikan tiga beradik itu duit raya dan angpau.

“Berkahwin atau tidak, mereka tetap anak-anak saya,” katanya.

“Saya rasa tuhan benar-benar menjaga saya. Walaupun saya tidak berkahwin, saya sudah mempunyai cucu,” katanya, merujuk kepada dua anak Rafie.

Tahun Baharu Cina adalah masa untuk berkumpul bersama keluarga, dan keluarga ini lebih berwarna-warni daripada kebanyakan yang lain.

Kisah Tong dan tiga beradik ini – yang turut diadaptasikan dalam filem terbaru terbitan Astro Shaw, ‘Abah Saya Uncle Mike’ – membuktikan bahawa keluarga adalah mengenai kasih sayang bukan sekadar hubungan darah.

“Saya sangat bersyukur kerana tuhan mengirimkan seorang insan baik seperti ‘Uncle Mike’ yang sudi menerima kami. Kami tidak mempunyai hala tuju, dan dia seperti seorang wira yang menyelamatkan serta menjaga kami,” kata Rasyid.

“Apa yang saya pelajari daripada keluarga saya ialah, walaupun kami berlainan bangsa, kasih sayang tidak mengenal warna kulit,” kata Rahman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.