HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Pemburu haram guna bot nelayan seludup anggota harimau

-

Pengangkutan itu menjadi rangkaian penting aktiviti penyeludupan haiwan liar kerana murah dan kurang berisiko berbanding laluan darat atau udara.

4
Shares
Total Views: 748
Free Malaysia Today
Kehilangan habitat akibat pembangunan pesat, pertanian dan aktiviti memburu berleluasa menyebabkan populasi harimau Malaya merosot kepada kurang daripada 150 ekor pada 2022.

PETALING JAYA:
Bot nelayan komersial menjadi bahagian penting penyeludupan bahagian harimau yang diburu secara haram di Malaysia, kerana ia membawa muatan lebih besar pada kos lebih murah serta kurang berisiko diperiksa pihak berkuasa berbanding laluan darat atau udara.

Menurut laporan Associated Press (AP), bot nelayan komersial merupakan sebahagian daripada rangkaian laluan yang digunakan oleh sindiket pemburu haram terancang untuk memindahkan bahagian harimau dan haiwan lain yang diburu secara haram ke Vietnam.

Laporan mengenai kepupusan kritikal harimau Malaya itu memetik kajian Universiti Sunway serta organisasi pemuliharaan Panthera dan Zoological Society of London (ZSL).

Lebih 50 individu yang terlibat dalam operasi ini, termasuk pemburu haram dan broker penjualan barang seludup, ditemu bual sebagai sebahagian daripada kajian yang diterbitkan hari ini.

Penyelidik mendapati bot nelayan juga digunakan untuk menyeludup anggota badan beruang seperti cakar dan hempedu, musang hidup, taring dan daging babi hutan, tenggiling, biawak serta kura-kura.

Seorang individu yang ditemu bual berkata bot nelayan amat sesuai untuk menyeludup barang bersaiz besar seperti kulit harimau.

“Tiada siapa yang periksa,” katanya yang dipetik sebagai berkata. “Tambahan pula, orang boleh kembali menggunakan bot, jadi banyak benda boleh dibawa balik melalui laluan ini.”

Laporan itu menyatakan bahawa Malaysia dan Vietnam kini meningkatkan kawalan maritim, menjadikan penyeludupan menggunakan bot nelayan semakin berisiko.

Pihak berkuasa Malaysia juga berjaya menangkap pemburu haram dan secara meningkatkan hukuman terhadap jenayah hidupan liar dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh hanya bergantung kepada sistem undang-undang jenayah,” kata Gopalasamy Reuben Clements dari ZSL, yang juga salah seorang penulis laporan itu.

“Kita perlu meneroka pendekatan lain – seperti menekankan perubahan sikap orang ramai – yang boleh dijalankan seiring dengan tangkapan dan pendakwaan.”

Menurut Tabung Hidupan Liar Dunia (WWF), Malaysia dianggarkan mempunyai kira-kira 3,000 harimau pada 1950-an.

Bagaimanapun, kehilangan habitat akibat pembangunan pesat, pembukaan kawasan pertanian serta aktiviti memburu berleluasa menyebabkan populasi haiwan itu merosot kepada kurang daripada 150 ekor pada 2022.

Beberapa tahun lalu harimau Malaya juga menjadi mangsa virus ‘canine distemper’, manakala sumber makanan utama mereka iaitu babi hutan, turut berkurangan akibat virus demam babi Afrika.

Permintaan tinggi terhadap anggota badan harimau untuk perubatan tradisional Cina terus menarik pemburu haram dari Vietnam, Thailand dan Kemboja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.