![Free Malaysia Today](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fmedia.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2025%2F01%2F7ffce65b-puteri-umno-fmt-280125-resize.webp&w=3840&q=75)
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) berkata, fokus untuk memperkasakan sayap ditubuhkan 25 tahun lalu itu seharusnya melahirkan pemimpin masa depan dengan didedahkan kepada pelbagai jawatan di peringkat awal.
![Syaza Shukri](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fmedia.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2024%2F12%2Fbb609e03-syaza-shukri-ms-181224-1.webp&w=3840&q=75)
“Kalau had usia naik mungkin mereka terpaksa menghabiskan masa menunggu (dalam Puteri Umno). Sepatutnya fokus melatih generasi pelapis bukannya nanti bagi alasan tiada yang layak,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, Naib Presiden Umno Khaled Nordin dipetik berkata parti itu mempertimbangkan cadangan menaikkan had usia ahli Puteri daripada 35 tahun kepada 40 tahun.
Bagaimanapun, bekas ketua sayap itu Rosnah Abdul Rashid Shirlin tidak bersetuju dengan cadangan terbabit kerana dibimbangi membantutkan usaha melahirkan pemimpin muda.
Mengepalai sayap itu dari 2009 hingga 2013, Rosnah berkata Puteri Umno memerlukan lebih ramai pemimpin muda untuk memastikannya dapat meraih segmen pengundi terbabit memandangkan had usia pemilih telah diturunkan kepada 18 tahun.
Puteri Umno ditubuhkan pada 2000 dengan Azalina Othman Said menjadi ketua pertamanya diikuti Noraini Ahmad, Rosnah, Mas Ermieyati Samsudin, Zahida Zarik Khan dan terkini Nurul Amal Mohd Fauzi.
![Lau Zhe Wei](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fmedia.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2024%2F08%2F38924a13-lau-zhe-wei-ms-090824-1.webp&w=3840&q=75)
Bagaimanapun, Lau Zhe Wei yang juga dari UIAM pula berpendapat langkah menaikkan had usia mampu melahirkan pemimpin matang dalam berpolitik sebelum menjejakkan kaki ke sayap Wanita.
Menurut Lau, kebanyakan mereka yang menyertai sayap itu berusia 20 tahun atau selepas tamat pengajian menyebabkan ‘tidak sempat untuk menjawat jawatan tinggi dalam Puteri Umno’.
“Bayangkan mereka masuk Umno selepas tamat pengajian dan mungkin ada peluang baki 10 tahun sahaja untuk dapatkan jawatan…ada kalanya tak sempat.
“Jadi mungkin timbul cadangan naik had usia supaya mereka sempat pegang jawatan sebelum ke sayap lain (Wanita),” katanya.
![Azmi Hassan](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fmedia.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2024%2F06%2Fab1fb881-azmi-hassan-ms-140723-2.webp&w=3840&q=75)
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, senada dengan Lau yang cadangan itu boleh mendidik ahli Puteri Umno sebagai pemimpin Wanita berkarisma.
“Ketika ini pada usia 35 tahun mereka berpindah kepada sayap Wanita, mungkin belum cukup kematangan berpolitik.
“Di dunia Wanita, kematangan politik itu berlainan. Jadi sesuai sekali kalau pindah pada usia 40 tahun kerana mereka sudah cukup bersedia,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram