HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Tiada unsur jenayah dalam kes maut dilanggar kereta api

-

Seorang maut manakala empat lagi cedera ringan selepas menceroboh landasan di laluan antara Teluk Pulai dan Klang semalam.

0
Shares
Total Views: 1
ktm komuter
Operasi KTM Komuter mengalami kelewatan lebih sejam pagi semalam selepas tren terlanggar lima lelaki yang menceroboh landasan di KM 34.734 antara Teluk Pulai dan Klang.

SHAH ALAM:
Tiada unsur jenayah dalam kes kematian seorang warga asing susulan dilanggar kereta api di Stesen Komuter Klang, Jalan Besar, Taman Sri Istana semalam.

Ketua Polis Klang Selatan, Cha Hoong Fong, berkata Hospital Tengku Ampuan Rahimah selesai menjalankan bedah siasat ke atas mayat lelaki berusia 45 tahun itu semalam.

“Punca kematian adalah kerana kecederaan akibat dilanggar kereta api dan tiada sebarang unsur jenayah,” menurut kenyataan.

“IPD Klang Selatan telah membuka satu kertas siasatan mati mengejut untuk siasatan lanjut.”

Terdahulu, Cha memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada pengadu yang memandu kereta api tersebut mengatakan seorang lelaki dilanggar di Stesen Komuter Klang di Jalan Besar pada 7.22 pagi.

Siasatan mendapati pada 6.38 pagi semasa pengadu memandu keretapi dari arah Pelabuhan Klang ke Tanjung Malim, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat seperti terlanggar sesuatu apabila sampai di Kilometer (KM) 34.734.

“Seterusnya, berlaku kebocoran gas pada sistem kereta api yang menyebabkan ia berhenti dan tidak dapat meneruskan perjalanan.

“Apabila pemeriksaan dilakukan, pengadu menjumpai mayat seorang lelaki di bawah gerabak keempat dan terus menghubungi pihak polis untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Hasil siasatan mendapat si mati dijumpai dalam keadaan berpakaian lengkap dan kaki kanannya terputus.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan memaklumkan seorang maut manakala empat lagi cedera ringan selepas menceroboh landasan di laluan antara Teluk Pulai dan Klang semalam.

Operasi KTM Komuter mengalami kelewatan lebih sejam pagi semalam selepas tren terlanggar lima lelaki yang menceroboh landasan di KM 34.734 antara Teluk Pulai dan Klang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.