HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Tuah Farrah raih rezeki dari resepi tradisional kuih bakul

-

Nur Farrah Diba Azhar membuat kuih bakul atau ‘Nian Gao’ sejak 10 tahun lalu pada setiap hari, bukan hanya sempena Tahun Baharu Cina.

0
Shares
Total Views: 1
kuih bakul
Nur Farrah Diba Azhar berkata banyak pantang larang untuk membuat kuih bakul termasuk jangan banyak bercakap dan perlu tenang. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA:
Berkongsi kebudayaan dalam kehidupan masyarakat majmuk bukan hanya mencetuskan suasana harmoni tetapi memanfaatkan dari segi pendapatan jika kena pada caranya.

Itu peluang dimanfaatkan Nur Farrah Diba Azhar, 35, yang mencari rezeki dengan menjual kuih bakul atau ‘Nian Gao’, hidangan istimewa masyarakat TiongHoa terutama pada perayaan Tahun Baharu Cina.

Beroperasi di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, ibu kepada seorang cahaya mata itu menjual kuih bakul dihasilkan secara tradisional sejak 10 tahun lalu yang mendapat sambutan menggalakkan termasuk tempahan secara dalam talian.

Orang ramai juga berpeluang menikmati kuih itu bukan hanya sempena Tahun Baharu Cina tetapi luar waktu perayaan.

“Sebelum ada TikTok pun kita dah jual setiap hari, orang pesan kuih bakul bukan hanya pada Tahun Baharu Cina.

“Sejak 10 tahun lalu harganya tetap sama iaitu RM10 untuk satu kuih,” kata Farrah kepada FMT sambil berkongsi telah memohon sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sejak tahun lalu.

kuih bakul
Kuih bakul atau ‘Nian Gao’, hidangan istimewa masyarakat TiongHoa terutama pada perayaan Tahun Baharu Cina. (Gambar Bernama)

Jaga kata-kata

Berkongsi lanjut, Farrah berkata kuih bakul sebati dengan dirinya sejak kecil lagi memandangkan ibunya berketurunan Cina, malah resepi membuat hidangan itu secara tradisional turut diajar datuk dan jirannya.

Walaupun ada menganggap proses membuat kuih itu agak mudah, namun Farrah berpendapat ada ‘pantang larang’ perlu dilalui antaranya perlu menjaga kata-kata supaya pembuatnya lebih tenang.

Ini kerana berdasarkan pengalamannya tidak semua kuih akan ‘menjadi’ jika syarat tersebut tidak dipenuhi.

“Nak buat kuih bakul ambil masa sehingga 16 jam…ada juga sampai 48 jam. Sebab itu kita tak boleh tingkat pengeluaran sesuka hati.

“Banyak ‘pantang larang’ contoh kalau buat 500 biji, hujung-hujungnya jadi 400 kerana kuih itu akan ‘hilang’ (tak menjadi).

“Jadi nak buat kuih bakul kena tenang, tak boleh kalut (tenang dan tidak kelam kabut),” kongsinya.

Pupuk keharmonian

Selain menjadikan sebagai sumber pendapatan, Farrah turut memberi peluang kepada orang ramai yang ingin melihat pembuatan kuih bakul di premis serta menceritakan sejarah di sebalik hidangan terbabit.

“Saya nak orang tahu Malaysia ini harmoni hasil perkongsian kebudayaan masyarakat majmuk, orang muda kena tahu simbolik kuih ini.

“Menerusi pembuatan kuih ini, orang Cina, Melayu dan India datang ke kedai untuk mengetahui sejarahnya seterusnya memupuk keharmonian kaum,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.