HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

17 tahun jual nasi campur RM2, peniaga mahu terus kongsi rezeki

-

So Chin Hoi yakin inisiatif itu bawa rahmat dan kebahagiaan kepada keluarga dan niatnya juga mahu bersedekah serta berkongsi rezeki sesama insan.

0
Shares
Total Views: 1
V FORTUNE LAND VEGETARIAN CAFE - JALAN BATU AMBAR
Pelanggan beratur untuk membeli makanan di V Fortune Land Vegetarian Cafe, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR:
Selama 17 tahun berniaga nasi campur pada harga RM2, seorang pengusaha restoran vegetarian tidak pernah terfikir menaikkan kadar itu semata-mata ingin membantu golongan kurang berkemampuan.

Yakin inisiatif itu dapat membawa rahmat dan kebahagiaan kepada keluarga, So Chin Hoi, 65, berkata niatnya juga mahu bersedekah dan berkongsi rezeki sesama insan walaupun berdepan kos operasi yang meningkat setiap tahun.

Sejak 2008, restoran beroperasi di Taman Kok Lian, Jalan Ipoh, menjual makanan pada harga ‘mampu milik’ bagi hidangan nasi dengan tiga lauk.

V FORTUNE LAND VEGETARIAN CAFE - JALAN BATU AMBAR
Pekerja menyediakan juadah untuk pelanggan di V Fortune Land Vegetarian Cafe.

Tinjauan FMT baru-baru ini mendapati ramai pelanggan beratur panjang seawal 10 pagi untuk membeli nasi campur disediakan So.

“Ada kedai (lain) pertikai hidangan nasi campur saya tiada kualiti. Bagi saya tak perlu terangkan kepada mereka, yang penting pelanggan tahu. Kalau tak sedap, harga murah pun tiada orang datang beratur macam ini,” kata pemilik V Fortune Land Vegetarian Cafe ketika ditemui.

So memberitahu pernah menolak pelawaan seorang pemilik syarikat pelaburan untuk membuka cawangan kedai makan ‘murah’ itu kerana khuatir misi perniagaannya ‘lari’ daripada hala tuju.

Sehingga kini, So yang juga pemilik beberapa kedai kasut memasak sendiri makanan bagi menjamin kualiti juadah disediakan kepada pelanggan.

Bercerita pengalamannya, So pernah menanggung kerugian sehingga terpaksa menggunakan sebahagian modal daripada perniagaan kasut untuk menampung kos operasi restoran diusahakannya.

Free Malaysia Today
Pelanggan dikenali Magret berkata walaupun V Fortune Land Vegetarian Cafe menawarkan harga RM2, kuantiti makanan amat memuaskan.

“Syukur sekarang pelanggan bertambah dan hampir mencecah 1,000 sehari,” katanya yang turut mengagihkan makanan percuma setiap pagi melainkan hari pertama dan ke-15 kalendar Cina.

“Gembira sebab bantu orang yang memerlukan. Selagi ada kudrat, saya akan meneruskan bakti sosial ini.”

Free Malaysia Today
So Chin Hoi.

Sementara itu, pelanggan ingin dikenali Chin, 41, sanggup ke restoran tersebut setiap hari kerana harga murah dapat membantunya menjimatkan perbelanjaan harian.

“Sekarang apa pun naik (harga). Pernah lihat banyak kedai menawarkan hidangan seumpama ini tapi kemudian naikkan harga dengan pelbagai alasan,” kata pekerja swasta itu.

Kakitangan awam, Magret, 49, berkata agak mustahil mencari makanan vegetarian yang harganya berpatutan dan banyak pilihan terutama sekitar ibu kota.

Katanya, walaupun V Fortune Land Vegetarian Cafe menawarkan harga RM2, kuantiti makanan amat memuaskan.

“…dengan hanya RM2 saya boleh kenyang sampai lewat petang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.