
Zahid Hamidi berkata setakat ini lebih 50 pusat pemindahan sementara diaktifkan bagi menempatkan mangsa banjir, manakala Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sedang mengenal pasti premis yang sesuai dijadikan PPS.
Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata keperluan membina jambatan Bailey bagi menghubungkan kawasan terjejas sedang diteliti.
“Kita telah berbincang dengan Kor Jurutera Diraja Angkatan Tentera Malaysia untuk persediaan tersebut,” katanya pada sidang media, lapor Bernama.

Agensi berita nasional melaporkan bencana banjir di Sarawak melibatkan lebih 6,700 mangsa, setakat tengah hari tadi.
Pada 8.00 pagi tadi, jumlah mangsa banjir di PPS meningkat mendadak kepada 5,385 orang (1,505 keluarga), hampir sekali ganda daripada 2,981 mangsa (862 keluarga) semalam, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak.
Daerah Bintulu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, dengan 1,481 orang (396 keluarga) berlindung di enam PPS.
Jumlah daerah yang terjejas meningkat kepada 14 berbanding 12 daerah sehingga 8.00 malam semalam.
Sementara itu, Zahid memaklumkan sistem amaran awal diaktifkan bagi memberikan amaran sekurang-kurangnya tiga hari sebelum kejadian air pasang besar, bagi memudahkan proses pemindahan dan penduduk menyelamatkan dokumen serta barang-barang penting.
Beliau difahamkan sebanyak 13 stesen meteorologi merekodkan jumlah purata hujan melebihi 20 milimeter (mm) harian, katanya.
“Saya ingin mengingatkan bahawa musim Monsun Timur Laut ini akan berlanjutan hingga hujung Mac,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram