![Dzulkefly Ahmad](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fmedia.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2025%2F01%2F87a59525-dzulkefly-ahmad-fmt-resize-290125-1.webp&w=3840&q=75)
Bercakap kepada FMT, menteri kesihatan memberi penghormatan kepada “pekerja penjagaan kesihatan yang bekerja keras” dan berazam memastikan mereka yang bertugas syif malam diberi imbuhan yang adil.
Katanya, tidak banyak bidang lain mengalami cabaran bertugas syif malam.
“Ramai orang enak di katil ketika doktor menjalankan tugas pada waktu begitu,” katanya.
“Ini bukan mengenai kejayaan atau kegagalan peribadi. Ini mengenai mencari jalan terbaik untuk pekerja penjagaan kesihatan dan negara.”
Dzulkefly mengulas dakwaan bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin bahawa cadangan WBB gagal kerana jurang antara birokrat di Putrajaya dengan realiti di lapangan.
“Adakah beliau (Khairy) diberi nasihat yang salah apabila beliau mengkritik PTD (pegawai tadbir dan diplomatik)?
“Dia tidak menunjukkan pemahaman tentang bagaimana WBB diilhamkan dan sepatutnya dilaksanakan. Ia hampir tiada kaitan dengan PTD.”
WBB, yang mengehadkan tempoh ‘on-call’ bagi doktor daripada 33 jam kepada 18 jam, dikritik kerana kesannya kepada elaun pekerja penjagaan kesihatan dengan memasukkan syif malam sebagai sebahagian daripada tempoh waktu bekerja 45 jam seminggu.
Walaupun tempoh waktu bekerja berkurangan, pendapatan mereka akan terkesan kerana mereka tidak diberi elaun apabila bekerja selepas 5pm pada hari minggu.
Jemaah Menteri membatalkan cadangan itu pada Jumaat lepas, bagi memberi laluan kepada kajian yang lebih mendalam dan menyeluruh.
Dzulkefly berkata pembatalan itu bukan sesuatu yang memalukan.
Sebaliknya, Dzulkefly memperakui cabaran besar yang menanti beliau untuk reformasi sistem penjagaan kesihatan, menegaskan matlamat beliau adalah membuat perubahan yang bermakna dalam menangani isu-isu lama, dan berdaya tahan untuk generasi masa depan.
Beliau mengalu-alukan maklum balas daripada semua pihak, namun menekankan betapa penting pihak berkenaan memahami bahawa sumber Kementerian Kesihatan adalah terhad.
“Melakukan perkara yang betul adalah sukar dan biasanya tidak popular. Melaksanakan dasar yang popular tanpa menangani punca masalah adalah lebih mudah,” katanya.
“Cabaran sebenar adalah melakukan perkara yang betul, dan melakukannya dengan betul.”
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram