![Aris Ariwatan](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fmedia.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2025%2F01%2F507bf5fc-aris-ariwatan-fmt-hq-220120251.webp&w=3840&q=75)
Namun, kontroversi membabitkan isu harta intelek karyanya boleh dijadikan iktibar kepada penggiat seni untuk lebih berhati-hati menjaga hasil titik peluh masing-masing supaya mereka dapat merasai manfaat dari segi royalti untuk jangka panjang.
Menyedari masih ramai penggiat seni belum memahami aspek perlindungan karya, penyanyi veteran Aris Ariwatan mengambil inisiatif menubuhkan Persatuan Pencipta, Pelaku & Penerbit Muzik Malaysia (3PM).
Pemilik nama Haris Fadzillah Daud itu berkata, mereka tidak mahu isu membabitkan P Ramlee berulang bagi mengelakkan ciptaan dan kesungguhan menghasilkan karya menjadi sia-sia.
“Harta seni bukan harta fizikal tetapi bersifat spiritual. Contoh lagu Getaran Jiwa (gubahan P Ramlee dan lirik S Sudarmaji) yang meruntun perasaan. Kalau kita tulis lagu yang hampir sama, ia tidak akan menjadi. Ini satu harta yang tiada duanya.
“Saya harap kita belajar sesuatu daripada kisah P Ramlee. Getaran Jiwa hanya direkod sekali sahaja, tapi lagi lama lagu itu jadi ‘vintage’… ia sebuah harta dan aset mahal,” katanya kepada FMT.
Semua karya kena daftar
Aris berkata, pertubuhan diketuainya itu mengalakkan penggiat seni mendaftarkan semua karya sebagai harta intelek untuk perlindungan kerana ia mungkin ‘meletup’ pada masa depan.
Katanya, mentaliti karya popular sahaja patut didaftar sebagai harta intelek harus diubah dan dikikis kerana merugikan mereka.
“Pretty Woman nyanyian Roy Orbison… albumnya tak berapa laku tapi selepas dia meninggal dunia, lagu itu meletup,” katanya yang popular dengan lagu Lamunan Terhenti dan Permaidani.
Pertubuhan itu juga, kata Aris giat memantau isu berkait kutipan dan bayaran royalti kepada penggiat seni oleh pihak bertanggungjawab seperti Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) dan Recording Performers Malaysia (RPM).
Selain itu, Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) dan Public Performance Malaysia Sdn Bhd (PPM).
“Berapa royalti dikutip? Hak siapa? Itu persoalan sampai hari ini saya tidak jumpa jawapannya sejak zaman analog. Tiada siapa tahu angka sebenar dan anak seni hanya pasrah menerima tanpa banyak soal selama ini,” katanya.
Aris turut memberitahu, 3PM juga telah membentangkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhubung kaedah mudah dan hanya di hujung jari untuk mengesan urusan pembelian karya seni.
Menurutnya, ada aplikasi khas boleh dimanfaatkan supaya penggiat seni turut memperoleh pendapatan hasil jualannya bukan hanya pihak didakwa ‘hanya mengambil kesempatan’.
“Kami sudah bentang tahun lepas dan sehingga kini masih menunggu maklum balas pihak kerajaan,” katanya.
Terlalu lantang, karier seni ‘dibunuh’
Aris akur ‘harga mahal dibayarnya’ apabila terlalu lantang membawa suara penggiat seni dalam aspek harta intelek, pembayaran royalti dan masalah cetak rompak.
Anak kelahiran Perak itu mendakwa, cadangan supaya harga cakera padat (CD) dan cakera padat video (VCD) diturunkan untuk membanteras jenayah cetak rompak menjejaskan kerjayanya sebagai penyanyi.
“Lagu saya (baru empat), Lamunan Terhenti, Permaidani, 1, 2, 3, 4 dan Cinta Tak Kenal Siapa, tiba-tiba hilang. Saya telah ditamatkan kontrak serta-merta.
“Padahal saya baru perbaharui kontrak tapi dibatalkan. Waktu itu, semua syarikat rakaman lain tidak mahu terima saya,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram